HomeSukanPembatalan pingat Perak diselesaikan secara baik - Fadhlina

Pembatalan pingat Perak diselesaikan secara baik – Fadhlina

Read Time:1 Minute, 27 Second

Oleh ERDIE AB WAHID

Kota Kinabalu : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan kontroversi berhubung pembatalan pingat perak seorang atlet merentas desa di daerah Semporna baru-baru ini telah diselesaikan secara baik dan harmoni.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, kerjasama erat pelbagai pihak turut memainkan peranan penting dalam menyelesaikan isu berkenaan dengan penuh tanggungjawab dan profesionalisme.

Katanya, ia termasuklah wakil Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pihak sekolah, guru-guru, ibu bapa dan keluarga.

“Kita ambil maklum dan ambil tanggungjawab untuk menyelesaikan perkara ini sehingga ia selesai. Saya ingin memaklumkan bahawa ia telah diselesaikan secara baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Seminar Kepimpinan Madani : Cakna Pendidikan Digital di Dewan Resital UMS di sini hari ini.

Fadhlina turut memberi jaminan bahawa kementerian sentiasa bersedia untuk menilai dan berbincang sekiranya terdapat isu-isu baharu yang berbangkit. 

Katanya, aekiranya terdapat sebarang dakwaan tidak tepat, KPM juga terbuka untuk menjalankan siasatan demi memastikan keadilan dan ketelusan.

“InsyaAllah apa saja isu-isu yang berbangkit, kita sentiasa ada ruang untuk berbincang dan untuk nilai dan kalau ada dakwaan-dakwaan yang tidak betul dan sebagainya, kita sedia untuk siasat dan JPN memberikan komitmen penuh kepada isu-isu yang dibangkitkan,” katanya.

Terdahulu, insiden yang berlaku pada Sabtu lalu melibatkan seorang atlet lelaki bawah 15 tahun yang pada awalnya memenangi tempat kedua, namun kemudian didakwa menggunakan kenderaan semasa perlumbaan.

Dalam satu hantaran Facebook, jurulatih pelajar tersebut, Mukmin Nantang, mendakwa pingat perak tersebut dibatalkan tanpa bukti kukuh atau siasatan yang adil.

Beliau berkata tiada rakaman video atau foto dikemukakan, malah pengadil hanya bergantung kepada dakwaan lisan daripada tiga peserta lain.

Mukmin juga mendakwa data daripada jam tangan Garmin atlet tersebut yang memaparkan jarak, masa, ketinggian, kadar degupan jantung dan nadi turut diketepikan oleh pengadil. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Tiga ‘Sumandak’ Tuaran, Tamparuli dan Kiulu dinobatkan Unduk Ngadau Kaamatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular