Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri bersedia meneliti dan mempertimbangkan sebarang cadangan yang berupaya memberi manfaat kepada rakyat, termasuklah aspek pengurusan bencana di peringkat daerah, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Nizam berkata demikian ketika menjawab cadangan Datuk Jonnybone Kurum (PBS-Telupid) yang menyarankan Kerajaan negeri membekalkan peralatan logistik seperti bot dan enjin sangkut kepada pejabat daerah yang berfungsi sebagai Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), selain kemudahan asas memasak di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Apa juga perkara yang membawa kebaikan dan manfaat kepada rakyat, kerajaan pasti akan memberi pertimbangan sewajarnya.
“Sekiranya ada keperluan seperti yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Telupid, perkara ini boleh disalurkan secara rasmi melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) untuk pertimbangan kerajaan negeri,” jelas Nizam semasa sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Sebelum itu, Jonnybone memaklumkan bahawa Telupid pada masa ini tidak mempunyai peralatan penting seperti bot dan enjin sangkut, dan menggesa agar keperluan ini diambil kira untuk kelancaran operasi bencana di peringkat daerah.
“Adakah terdapat sebarang cadangan daripada kementerian untuk membekalkan bot dan enjin sangkut kepada pejabat daerah yang mengendalikan operasi bencana?
“Di Telupid, kami bergantung sepenuhnya kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), tetapi mereka juga kekurangan peralatan. Selalunya bantuan perlu datang dari Kinabatangan, Beluran atau Sandakan,” katanya.
Selain itu, beliau mencadangkan agar Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dilengkapi kemudahan dapur atau peralatan memasak asas, bagi membolehkan mangsa menyediakan makanan sementara menunggu bantuan daripada agensi kebajikan.
Terdahulu, Nizam menjelaskan bahawa Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) di seluruh Malaysia adalah tertakluk dan perlu mematuhi Arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) No.1.
Di bawah arahan tersebut, mangsa bencana mangsa bencana adalah layak untuk menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 dengan syarat mangsa berpindah atau didaftarkan ke PPS oleh petugas Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) di daerah masing-masing.
Pendaftaran tersebut perlu disahkan oleh Pengerusi JPBD sebelum permohonan dikemukakan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).
Nizam memberikan penjelasan tersebut sebagai menjawab pertanyaan Datuk Seri Yong Teck Lee (SAPP-ADUN Dilantik), yang mencadangkan agar kerajaan negeri menilai semula mekanisme NADMA memandangkan ada mangsa bencana yang mendaftar tetapi tidak berpindah ke PPS, sekaligus tidak layak menerima bantuan sedia ada.