Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah memberi jaminan untuk mempertimbangkan permohonan pembinaan jalan akses ke tapak tanah perkuburan Islam yang telah digazetkan di Telupid.
Pembantu Menterinya, Datuk Samad Jambri berkata, Kementerian menyedari kepentingan segera akses ke kawasan tersebut, memandangkan ia satu-satunya tanah perkuburan Islam yang ada di kawasan pekan Telupid.
“Memandangkan jalan ini sangat penting, pihak kementerian akan memberikan pertimbangan atau mengangkat perkara ini agar ia dapat diambil perhatian dan diberikan kelulusan,” katanya semasa sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.
Terdahulu, Datuk Jonnybone J. Kurum (PBS – Telupid) dalam soalan tambahannya membangkitkan isu ketiadaan jalan akses ke kawasan perkuburan seluas 20 ekar yang telah digazetkan, menyebabkan ada jenazah terpaksa dikebumikan di kampung lain dengan kos tinggi, malah ada yang disemadikan di kawasan hutan simpan.
Beliau turut meminta penjelasan mengenai status terkini pembinaan jalan baharu tersebut yang menurutnya telah dikemukakan sejak sekian lama.
Menjawab persoalan itu, Samad memaklumkan bahawa Pejabat Daerah Telupid telah mengemukakan surat permohonan mengenai cadangan Projek Bina Baharu Jalan Ke Tanah Perkuburan Islam di daerah Telupid kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).
“Maklumat mutakhir yang diterima Kementerian saya adalah jalan ke tanah perkuburan ini tidak termasuk dalam kriteria pembiayaan projek di bawah peruntukan JHEAINS. Peruntukan tanah perkuburan JHEAINS hanya membiayai pembinaan laluan jalan perkuburan di dalam kompaun tanah perkuburan dan bukannya akses ke kawasan tanah perkuburan.
“Kementerian saya mempunyai program di bawah peruntukan-peruntukan kecil. Walau bagaimanapun, memandangkan biayaan di bawah peruntukan ini terhad maka saya khuatir permohonan untuk pembinaan baharu akses jalan ke tanah perkuburan tersebut tidak mencukupi untuk menampung kos pembinaan projek berkenaan,” katanya.