Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Sebanyak RM900,000 diperuntukkan bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan sistem perparitan utama di daerah Sandakan bagi tahun ini.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Isnin Aliasnih, memaklumkan perkara itu ketika menjawab pertanyaan Datuk Suhaimi Nasir (ADUN Dilantik) pada sesi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Menurut Isnin, setiap tahun pihak Kementerian akan menerima peruntukan di bawah peruntukan Perbekalan Negeri S39, yang kemudiannya akan diagih-agihkan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Sabah berdasarkan kepada permohonan mereka.
“Oleh itu, tidak ada jumlah peruntukan tetap yang disediakan oleh Kementerian kepada Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) bagi penyelenggaran dan pembersihan sistem perparitan di daerah Sandakan setiap tahun.
“Walaubagaimanapun berdasarkan rekod, jumlah yang telah diperuntukan kepada MPS menggunakan peruntukan perbekalan S39 sejak tahun 2020 hingga 2024 adalah sebanyak RM558,000.
“Selain daripada itu, bagi tahun 2025 MPS telah memperuntukkan sebanyak RM900,000 untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan parit utama ‘The maintenance of major drain and Associated Works (Urban Darinage)’,” jelasnya.
Terdahulu, Suhaimi bertanya berapakah jumlah peruntukan yang disediakan oleh kerajaan bagi penyelenggaran dan pembersihan sistem perparitan di daerah Sandakan setiap tahun.