KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah sedang giat merangka dan menyelaras pelbagai inisiatif pelaburan perindustrian di Sandakan, termasuk usaha ke arah penjanaan tenaga bersih dan mampan.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, satu jawatankuasa khas dikenali sebagai State Manufacturing Investment Task Force telah ditubuhkan bagi menyelaraskan perancangan dan keperluan pelaburan bersama agensi-agensi berkaitan termasuk Sabah Electricity, ECOS dan Jabatan Air.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Karamunting dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, hari ini.
“Apabila kita menyelaras satu pelaburan, kita tidak boleh bekerja secara bersendirian. Kita akan duduk bersama dalam satu jawatankuasa yang membincangkan aspek pelaburan dan ekosistem yang diperlukan,” katanya.
Menurut beliau, antara inisiatif utama yang sedang dijalankan di Sandakan termasuk Pelan Biomass berskala 9 megawatt (MW), Pelan tenaga solar berskala besar (Large Scale Solar) sebanyak 75 MW, Perancangan sistem penyimpanan tenaga bateri (battery energy storage) serta pelan solar berskala besar sehingga 250 MW.
Phoong turut menjelaskan bahawa pelabur swasta menunjukkan minat tinggi untuk membangunkan sistem tenaga sendiri di tapak kilang masing-masing, terutamanya melalui penggunaan solar, bagi memenuhi keperluan tenaga operasi mereka.
“fasa pertama pelaburan boleh direalisasikan kerana tidak melibatkan penggunaan tenaga yang besar. Kita telah pun berbincang dengan ECOS dan Sabah Electricity,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan komited membawa lebih banyak peluang ke Sandakan, sejajar dengan aspirasi rakyat dan wakil-wakil rakyat setempat.
“Kita jaga Sandakan, kita sayang Sandakan. Kita akan bawa peluang dan ruang untuk masa depan Sandakan yang lebih baik,” tambahnya lagi.