Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah melabuhkan tirainya hari ini, desas-desus mengenai kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan lebih awal mula menjadi bualan. Namun, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, mengambil pendekatan santai dalam menjawab spekulasi tersebut dengan nada berseloroh, beliau berkata: “Itu saya mimpi dulu. Itu sebenarnya jawapan,” katanya sambil tersenyum.
Walaupun enggan mengesahkan apa-apa, Hajiji tidak menafikan bahawa tempoh penggal kerajaan negeri kini menghampiri penghujungnya, iaitu pada November tahun ini, berdasarkan tarikh persidangan pertama selepas pilihan raya negeri yang lalu.
“Kita punya tempoh ini akan berakhir, sebenarnya pada bulan November akan datang… Jadi sebelum sampai sana lah tempoh itu,” jelas beliau ketika ditemui pemberita selepas persidangan DUN selama lima hari yang berakhir hari ini.
Sepanjang persidangan yang berlangsung pada 10, 14 hingga 17 April 2025, pelbagai isu dan cadangan dibahaskan oleh Ahli-Ahli Dewan, yang disifatkan Hajiji sebagai bernas dan membina.
Mengulas lanjut, Hajiji turut menegaskan sebarang keputusan berkaitan pembubaran DUN akan dibincangkan bersama rakan-rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta parti-parti dalam kerajaan negeri termasuk Pakatan Harapan (PH) Plus.
“Kita perlu bermesyuarat dan berbincang dahulu. Bukan sahaja dengan GRS, tetapi juga dengan rakan-rakan dalam kerajaan negeri. Baru kita boleh putuskan bila masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya,” jelas beliau.
Mengulas laporan berita mengenai kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PH di peringkat negeri, Hajiji menegaskan fokus kerajaan negeri kini adalah untuk memastikan kestabilan politik demi kebaikan rakyat dan pembangunan negeri.
“Itu pandangan pihak Barisan Nasional. Kita di Sabah adalah kerajaan yang memerintah hari ini. Tapi demi kebaikan rakyat, kita tidak boleh menutup pintu rundingan dengan mana-mana pihak.
“Yang penting ialah kestabilan politik dan perpaduan. Itu harapan saya. Asalkan ia membawa kebaikan kepada rakyat dan negeri, kita terbuka untuk berbincang,” katanya.
Hajiji turut menegaskan bahawa kerajaan negeri yang ada kini masih berkuasa dan akan terus menentukan hala tuju Sabah.
“Jangan lupa, walau apa pun yang diperkatakan, kita adalah kerajaan hari ini. Kita yang akan menentukan hala tuju negeri,” katanya.