Putrajaya — Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kini melangkah ke fasa baharu dalam pengurusan hasil sawit apabila memperkenalkan penggunaan lori elektrik berteknologi tinggi dan sistem pemantauan GPS, sebagai usaha konkrit menoktahkan isu ketirisan yang telah lama membelenggu komuniti peneroka.
Inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama Sustainable Future Sdn Bhd itu membolehkan setiap penghantaran hasil sawit direkod secara digital dan dipantau secara langsung ke destinasi akhir — sama ada kilang atau pusat pengumpulan Felda — sekali gus menghalang penyelewengan oleh peraih dan ejen luar.
Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata teknologi ini bakal menjadi titik perubahan dalam usaha memastikan setiap titik peluh peneroka diberi nilai yang adil dan setimpal.
“Sudah tiba masa kita tamatkan penguasaan orang tengah yang selama ini mempermainkan nasib peneroka. Kini, hasil mereka akan dihantar terus ke kilang tanpa ruang untuk dimanipulasi. Setiap timbangan direkod, setiap pergerakan dipantau,” tegasnya.
Pusat Pengumpulan Baharu Simbol Permulaan
Langkah ini turut disokong dengan pembukaan rasmi Pusat Mengumpul Sawit (PMS) Damar Berkat di Felda Bukit Damar, Pahang yang kini berfungsi sebagai model baharu pusat logistik bersepadu Felda.
Shabery turut mendedahkan bahawa Felda kerugian hampir RM200 juta setahun akibat hasil yang “hilang” dalam perjalanan atau dijual secara tidak sah kepada pihak ketiga.
“Selama ini, ada pihak yang mengambil kesempatan — manipulasi harga, penipuan timbangan, pembayaran tidak telus. Mereka kaut untung tanpa menanam walau sebatang pokok pun,” katanya.
Pulih Maruah Koperasi dan Peneroka
Selain menjamin hasil peneroka, sistem baharu ini juga menjadi tulang belakang pemulihan semula kekuatan Koperasi Permodalan Felda (KPF), yang selama ini terjejas akibat sistem agihan hasil yang tidak cekap.
“Kita mahu kembalikan KPF sebagai nadi ekonomi peneroka. Apabila hasil disalur melalui saluran rasmi, keuntungan boleh diagih semula dalam bentuk dividen dan pembangunan semula komuniti,” katanya lagi.
Dengan pelaksanaan sistem digital ini, Felda bukan sahaja mengurangkan ketirisan — tetapi turut mengorak langkah membina masa depan yang lebih mampan, adil dan berdaya saing untuk seluruh komuniti tanah rancangan.