HomeSukan9 negara berentap rebut gelaran juara kejohanan ragbi Borneo Sevens 2025

9 negara berentap rebut gelaran juara kejohanan ragbi Borneo Sevens 2025

Read Time:1 Minute, 41 Second

Oleh J. EVACHEL JOHN

SANDAKAN: Kejohanan Ragbi KLK Borneo Sevens edisi ke-20 akan membuka tirainya esok, menghimpunkan 15 pasukan dari sembilan negara yang akan bersaing merebut gelaran juara dalam kategori lelaki dan wanita.

Kejohanan selama dua hari itu (19–20 April) akan diadakan di Eagles Rugby Club, Bandar Utama, Sandakan, dengan penyertaan pasukan dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina, Thailand, Uzbekistan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), China dan Australia.

Tumpuan utama pastinya terarah kepada pasukan tuan rumah, Borneo Eagles, yang berazam menebus kekecewaan tahun lalu dan meraih kembali gelaran juara. Mereka akan bersaing dalam Kumpulan A bersama pasukan Uzbekistan Rugby, Malaysian University, dan DKI Jakarta.

Di Kumpulan B, Briars RFC (Australia), Shaheen 7s (UAE), Singapore Development, dan All For One (Thailand) juga akan bertarung dalam saingan yang pasti sengit.

Bagi kategori wanita, Borneo Flyers yang merupakan juara bertahan, tampil sebagai pasukan pilihan. Mereka akan bertanding dalam Kumpulan C bersama Briars RFC (Australia) dan Singapore Development.

Kumpulan D pula melibatkan pasukan Uzbekistan Rugby, Eagles RFC Select dari Filipina, DKI Jakarta, dan Huangganguoji RC dari China, yang pasti menyajikan perlawanan hebat.

Juara kategori lelaki dan wanita akan membawa pulang trofi, pingat, dan hadiah wang tunai sebanyak US$5,000, manakala naib juara akan meraih trofi, pingat, dan wang tunai US$2,000.

Edisi tahun ini dikenali sebagai “The Greenest Sevens in the World”, dengan penekanan terhadap kelestarian dan kesedaran alam sekitar.

Penganjur turut komited memastikan setiap aktiviti kejohanan ini menyokong usaha memelihara imej Sandakan sebagai bandar raya alam semulajadi di Sabah.

Kejohanan Ragbi International KLK Borneo Sevens 2025 dilancarkan pada 19 Februari dengan penanaman sebanyak 20 anak pokok di Pusat Penemuan Hutan Hujan (Rainforest Discovery Centre – RDC), Sandakan sebagai simbolik perasmian.

Menjelang kejohanan utama, acara Borneo Sevens Junior Carnival telah berlangsung pada 17 – 18 April, menampilkan perlawanan melibatkan pelajar lelaki dan perempuan pelbagai kategori umur. Ia menjadi bukti komitmen penganjur dalam melahirkan bakat muda dalam sukan ini.

Melengkapkan kemeriahan kejohanan, ‘Borneo Fest’ akan berlangsung serentak pada 19 dan 20 April, menampilkan pelbagai elemen kebudayaan tempatan termasuk tarian dan makanan tradisi.

RELATED ARTICLES
Utama

PM, Premier Sarawak sepakat selesai isu PETRONAS, PETROS

Jabatan Meteorologi Malaysia Hujan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular