Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) membuat laporan polis berhubung penyebaran berterusan fitnah terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang dipercayai sebahagian daripada strategi politik sebuah parti pembangkang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, laporan terbaharu dibuat melibatkan sebuah video tular yang memaparkan perbualan suara menyerupai Hajiji, dipercayai dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Dalam video tersebut, kononnya Hajiji berbual mengenai skandal rasuah di Sabah dan menyebut bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia maklum tentang isu itu, tetapi tidak akan mengambil tindakan selagi GRS masih bersama PH. Ini adalah fitnah serius yang boleh mencemarkan imej kerajaan negeri,” katanya dalam sidang media selepas membuat laporan di Balai Polis Karamunsing, di sini semalam (17 April).
Zulkarnain berkata, lima laporan polis yang telah dibuat semalam merupakan antara lebih 30 laporan lagi akan dibuat terhadap pelbagai tuduhan palsu yang tersebar dalam media sosial. Antara fitnah yang dikenal pasti termasuk tuduhan pembelian kenderaan mewah Land Cruiser pada harga luar pasaran, penggunaan nombor pendaftaran khas SMJ, serta pembelian unit kondominium mewah di Sutera Harbour yang dikaitkan dengan Ketua Menteri.
“Semua laporan polis ini disokong oleh semakan fakta dan nasihat undang-undang daripada peguam kami. Kami juga sedang meneliti tindakan sivil terhadap individu yang menyebarkan fitnah ini secara terang-terangan.
“Kita juga telah meminta pakar teknologi meneliti mengenai audio menyerupai suara Ketua Menteri yang disebarluas itu dan jelas ianya dihasilkan menggunakan teknologi AI,” jelasnya.
Zulkarnain menyifatkan penyebaran video menggunakan suara menyerupai pemimpin kerajaan sebagai satu ancaman baharu yang perlu ditangani segera oleh polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), khususnya kerana ia boleh memperdaya masyarakat luar bandar.
“Orang kampung mudah percaya video sebegini. Ini bukan hanya soal politik, tapi soal keselamatan dan ketenteraman awam,” tegasnya.
Justeru, Zulkarnain menyeru rakyat Sabah agar tidak mudah terpengaruh dengan fitnah, sebaliknya menilai prestasi kerajaan negeri secara objektif menjelang PRN akan datang.
Pada sidang media sama, beliau turut membangkitkan kelewatan tindakan daripada pihak berkuasa terhadap beberapa laporan terdahulu, termasuk yang berkaitan pemalsuan dokumen melibatkan tokoh pembangkang.
“Kalau di Semenanjung, tindakan cepat diambil. Tapi di Sabah, tiada perkembangan. Kami mahu tahu di mana kelemahannya di pihak polis atau di Jabatan Peguam Negara?” katanya.
G57 turut merancang untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu depan berkaitan dakwaan skandal projek pembangunan bernilai RM1.5 bilion yang dikaitkan dengan tokoh tertentu dalam pembangkang.