HomeEkonomiSabah rancang tiga taman perindustrian baharu tampung lonjakan pelaburan - Phoong

Sabah rancang tiga taman perindustrian baharu tampung lonjakan pelaburan – Phoong

Read Time:2 Minute, 3 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah merancang untuk membina tiga taman perindustrian baharu masing-masing di Kota Belud, Kudat dan Beaufort sebagai langkah strategik bagi menampung permintaan pelaburan yang semakin meningkat serta mewujudkan rantaian bekalan tempatan yang lebih mampan.

Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, taman-taman perindustrian sedia ada kini hampir penuh manakala harga tanah yang tinggi menyukarkan kemasukan pelabur baharu.

“Sudah tiba masanya kita merancang taman perindustrian baharu yang berkonsepkan plug-and-play (terus boleh digunakan), lengkap dengan kemudahan mencukupi. Ini penting untuk menyokong pembangunan industri tempatan secara menyeluruh,” katanya ketika ditemui Sabah Media di sini pada Khamis (17 April).

Beliau memaklumkan bahawa tiga lokasi berpotensi itu masing-masing akan dikendalikan oleh agensi berkaitan iaitu Kudat oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), Kota Belud oleh Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), manakala Beaufort juga berkemungkinan diurus oleh Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) memandangkan kedudukannya yang strategik berdekatan dengan SOGIP.

Phoong menegaskan, dalam landskap geopolitik global yang tidak menentu, Sabah perlu bersedia membangunkan kapasiti industrinya sendiri untuk memastikan daya tahan bekalan domestik.

“Yang paling asas ialah kita mesti sediakan tanah. Apabila tanah disediakan, industri boleh berkembang, bina kilang lebih besar dan akhirnya mengeksport produk mereka,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, perancangan akan dibuat secara teliti bagi mengelakkan pembinaan di kawasan berpenduduk, sekali gus menghindari isu pampasan dan gangguan sosial yang boleh menjejaskan daya saing projek perindustrian.

“Kita tidak mahu ulangi kesilapan dahulu. Jika dibina di kawasan yang telah didiami, ia akan cetuskan pelbagai masalah. Ini yang kita mahu elakkan,” katanya.

Tambah Phoong, faktor tenaga juga menjadi pertimbangan penting, dengan keutamaan diberi kepada kawasan yang berhampiran sumber seperti gas asli di pantai barat Sabah dan potensi tenaga angin di utara termasuk Kudat.

“Daerah-daerah di pesisir pantai serta berhampiran injection point (titik suntikan) gas asli akan diberi keutamaan. Kita juga lihat potensi tenaga angin di Kudat dan kawasan utara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa rakyat tempatan, khususnya belia Sabah, akan diberi keutamaan dalam peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan, sebagaimana dilaksanakan dalam projek Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) di Lahad Datu sebelum ini.

“Kalau kita sudah ada industri sendiri, anak-anak Sabah boleh mendapat kerja di kilang yang canggih di negeri sendiri, bukan lagi perlu berhijrah ke Pulau Pinang atau Selangor,” katanya.

Phoong turut memaklumkan bahawa pelan induk (master plan) bagi beberapa kawasan termasuk di Kota Belud kini hampir siap dan dijangka dibentangkan kepada Kabinet Negeri dalam masa terdekat.

RELATED ARTICLES
Utama

RM2.329 bilion untuk pembangunan 52 projek baharu sekolah di Sabah tahun...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular