Kota Kinabalu : Pendidikan literasi politik dalam kalangan belia Sabah perlu diberi perhatian bagi melahirkan lebih ramai pelapis kepimpinan dan pengundi celik di negeri itu pada masa hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari berkata, pendedahan sedemikian penting untuk membina kefahaman asas tentang tadbir urus kerajaan serta memberi peluang kepada belia untuk melihat secara langsung proses perundangan dijalankan.

“Belia hari ini tidak boleh sekadar menjadi pemerhati. Mereka perlu menjadi pemikir, penyumbang idea dan pelaksana perubahan di peringkat komuniti.
“Program ini memberi ruang kepada mereka untuk mengenal peranan sebagai pengundi dan bakal pemimpin,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Arsad berkata, dalam menghadapi pelbagai isu yang melanda negeri seperti pengangguran, kemiskinan dan ketidaksamaan pembangunan, golongan belia perlu diberi ilmu serta platform yang tepat untuk menyuarakan pandangan mereka secara konstruktif.
“Dengan jumlah belia yang besar di Sabah, kita tidak mampu membiarkan mereka terpinggir daripada proses membuat keputusan. Pendidikan politik bukan bermaksud berpolitik, tetapi membina kesedaran dan tanggungjawab,” katanya.
Arsad yang turut berkesempatan menyantuni rombongan lawatan belia Tempasuk di Bangunan DUN Sabah semalam berkata, program seumpama itu sejajar dengan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), yang mengutamakan kestabilan politik dan pembangunan insan sebagai asas kemajuan negeri.
Beliau juga meletakkan harapan agar lebih banyak inisiatif seperti itu dilaksanakan secara berkala bagi memastikan kesinambungan usaha membentuk generasi muda Sabah yang progresif, celik demokrasi dan bersedia menyumbang kepada masa depan negeri.
Terdahulu, satu Program Lawatan Belia dan Pelajar DUN Tempasuk ke Bangunan DUN Sabah telah diadakan pada Khamis.
Seramai 40 orang pengundi muda terdiri daripada pelajar dan belia akar umbi dari Tempasuk telah menyertai program tersebut yang bertujuan memberi pendedahan awal terhadap fungsi institusi legislatif serta sistem demokrasi di peringkat negeri.