Oleh J. EVACHEL JOHN
SANDAKAN: Juara bertahan, Borneo Flyers, mempamerkan aksi gah di Kejohanan Ragbi Tujuh Sebelah KLK Borneo Sevens 2025 apabila mencatat dua kemenangan bergaya dalam saingan pembukaan kategori wanita hari ini.
Bersaing dalam Kumpulan C bersama Briars RFC (Australia) dan Singapore Development, Borneo Flyers berjaya mengutip 46 mata secara keseluruhan dalam dua perlawanan yang berlangsung di Eagles Rugby Club di sini.

Namun, tumpuan utama hari pertama dicuri oleh pendatang baharu dari China, Hua Gan Guo Ji RC, yang mencipta kejutan apabila menjuarai Kumpulan D dengan pungutan mata luar biasa – 130 mata – hasil kemenangan bersih dalam tiga perlawanan.

Pasukan dari China itu mempamerkan dominasi sejak awal apabila mengutip 29 mata dalam 10 minit pertama menentang Uzbekistan. Mereka satu kumpulan bersama Uzbekistan, Eagles RFC Select (Filipina) dan DKI Jakarta (Indonesia).
Uzbekistan dan Eagles RFC Select masing-masing mencatat satu kemenangan, manakala DKI Jakarta menamatkan hari pertama tanpa sebarang kemenangan.
Bagi kategori lelaki, naib juara tahun lalu Borneo Eagles (Malaysia) mendapat tentangan sengit, namun tetap gagah mengumpul 119 mata daripada tiga perlawanan.
Mereka bersaing dalam Kumpulan A bersama Uzbekistan Rugby, Malaysia University, dan DKI Jakarta.
Uzbekistan Rugby kini berada di tangga kedua kumpulan selepas menang dua daripada tiga perlawanan mereka.
Kumpulan B pula menyaksikan saingan daripada Briars RFC (Australia), Shaheen 7s (UAE), Singapore Development, dan All For One (Thailand). Shaheen 7s muncul sebagai pasukan pilihan apabila mencatat tiga kemenangan dengan kutipan 93 mata.
Perlawanan Bowl wanita bermula seawal jam 8.30 pagi dengan Briars RFC menentang DKI Jakarta, diikuti Eagles Select menentang DKI Jakarta pada jam 11.30 pagi. Pertembungan Bowl terakhir antara Briars RFC dan Eagles Select dijadual pada jam 2.20 petang.
Separuh akhir Piala Wanita bermula pada jam 10.50 pagi dengan perlawanan antara Borneo Flyers dan Uzbekistan Rugby, diikuti Singapore Development menentang Hua Gan Guo Ji RC pada jam 11.10 pagi. Perlawanan akhir wanita dijangka bermula jam 4.14 petang.
Suku akhir Piala Lelaki pula membuka tirai pada jam 9 pagi dengan perlawanan antara Borneo Eagles dan Singapore Development. Perlawanan lain termasuk Malaysia University vs Briars RFC, Uzbekistan Rugby vs All For One, dan DKI Jakarta vs Shaheen 7s.
Perlawanan akhir lelaki akan bermula pada jam 4.30 petang.
Juara bagi kategori lelaki dan wanita masing-masing akan membawa pulang wang tunai USD5,000 bersama trofi cabaran berprestij. Naib juara pula bakal menerima hadiah wang tunai sebanyak USD2,000.
Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong dijangka akan menyempurnakan majlis penyampaian hadiah pada Ahad.