Sandakan : Kerajaan akan memastikan program akademik di universiti selari dengan keperluan industri moden dan tuntutan global termasuk dalam mendepani era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata, kecerdasan buatan (AI), analitik data, keusahawanan digital dan inovasi teknologi bukan lagi sekadar pilihan, tetapi sebahagian dunia pekerjaan masa kini.

Justeru katanya, pendidikan tinggi dalam negara memainkan peranan yang cukup besar dan luas.
Menurutnya, pendidikan tinggi adalah pemacu utama kepada kemajuan negara khususnya dalam bidang teknologi, inovasi dan pertumbuhan ekonomi.
“Melalui landskap dan landasan yang dibina oleh pendidikan tinggi pada ketika ini, lulusan pendidikan tinggi yang bergelar graduan akan menjadi komponen penting bagi menambahbaik pembangunan negara daripada pelbagai aspek.
“Justeru, matlamat penganjuran karnival ini juga menyokong Sustainable Development Goals (SDGs) 4 iaitu pendidikan untuk semua. Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) harus bersedia melahirkan graduan yang bukan sahaja memiliki ilmu teori, tetapi juga kemahiran tinggi untuk mempraktikkan teori tersebut.
“Perkara ini juga merupakan Tujuh Fokus Utama Hala Tuju KPT 2025 iaitu Penyediaan Bakat Terbaik Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Karnival Jom Masuk U Zon Sabah di Kompleks Sukan Sandakan di sini hari ini.
Mustapha berkata, kemahiran digital dan daya inovasi yang tinggi menjadi tuntutan semasa kepada semua graduan.
Justeru katanya, para pelajar perlu melengkapkan diri dengan kemahiran yang ada agar mampu bersaing dan menjadi peneraju dalam ekonomi digital yang semakin berkembang pesat seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara.
Mengenai karnival itu, Mustapha berkata, ia adalah salah satu program yang penting bukan sahaja bagi menarik minat pelajar untuk masuk ke alam pendidikan tinggi tetapi menyediakan satu platform bagi memastikan para pelajar mempunyai gambaran yang jelas terhadap masa depan yang lebih cerah.
“Umum mengetahui melalui karnival ini pelajar-pelajar akan didedahkan dengan maklumat yang tepat mengenai syarat, tatacara dan proses permohonan melalui UPUOnline.
“Malah, melalui karnival seperti ini, para pelajar juga akan dapat mengenal pasti program pengajian yang ditawarkan sesuai dengan minat masing-masing serta bantuan kewangan yang disediakan bagi memudahkan proses pembelajaran di IPT,” katanya. – SABAH MEDIA