HomeUtamaPRN17 : GRS akan bincang kerjasama dengan PH

PRN17 : GRS akan bincang kerjasama dengan PH

Read Time:2 Minute, 2 Second

Sandakan: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengadakan perbincangan bersama Pakatan Harapan (PH) berhubung kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, setakat ini belum ada tarikh bila perbincangan itu akan diadakan.

“Kita dalam kerajaan sekarang, insyAllah dalam masa terdekat kita akan mengadakan perbincangan dengan PH,” katanya,

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sungai Sibuga 2025 di Dewan Serbaguna Sri Libaran, di sini, hari ini.

Hajiji berkata demikian ketika ditanya sama ada pemimpin PH sudah mengadakan pertemuan dengan GRS bagi membincangkan soal kerjasama menjelang PRN17.

Beliau turut mengulangi pendiriannya mengenai siapa yang sepatutnya menawarkan kerjasama dengan gabungan atau parti lain berikutan tindakan Barisan Nasional (BN) Sabah mengumumkan kerjasama dengan PH Sabah, baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri, Datuk James Ratib, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Isnin Aliasnih dan Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Samad Jamri.

Turut hadir Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi, Ketua Wanita, Datuk Redonah Bahanda, Ketua Beliawanis, Emmie M. Idang, Ahli Majlis Tertinggi parti, Datuk Awang Kadin Tang dan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sungai Sibuga, Datuk Amirshah Yaakub.

Hajiji berkata, sebagai parti yang menerajui kerajaan GRS-PH Plus ketika ini, rakan kerjasama bagi menghadapi pilihan raya itu akan ditentukan mereka.

“Kerajaan negeri adalah GRS-PH Plus, ini jelas tapi dalam politik kita cari satu kebaikan yang boleh menyatupadukan rakyat, kita mahu ada kestabilan politik di Sabah.

“Jadi, walau bagaimanapun pintu kita tidak tutup untuk mereka yang mahu bekerjasama dengan kita. Tapi perlu diingat bahawa kerajaan hari ini adalah GRS-PH Plus, jadi kita yang tentukan siapa rakan kita dalam pilihan raya nanti,” katanya.

Pada akhir persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Khamis lalu, Hajiji membayangkan bahawa GRS tetap memilih PH sebagai rakan kerjasama walaupun BN Sabah mengumumkan bekerjasama dengan PH.

Sementara itu, kira-kira 5,000 tetamu hadir pada sambutan Aidilfitri berkenaan yang turut diserikan dengan persembahan nyanyian dan tarian serta penyampaian sumbangan kepada seramai 74 pelajar, guru dan staf Maahad Tahfiz serta anak-anak yatim.

Hajiji turut menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan (ADUN) dilantik, Datuk Jaffari Waliam di Kampung Kenangan Manis dan menyampaikan watikah pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Semawang dan Kampung Jaya Bakti dalam kawasan DUN Gum-Gum.

RELATED ARTICLES
Utama

Kes HFMD di seluruh negara meningkat 266 peratus – KKM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular