Oleh FLORIETA DIET
KINABATANGAN: Dua cedera parah dan enam cedera ringan dalam kemalangan jalan raya yang berlaku semalam (19 April) di Kampung Jaya Baru, Jalan Bukit Garam, dekat sini.
Ketua Balai Bomba Kinabatangan PPgB Hairi Otoh berkata, kemalangan yang melibatkan dua buah kenderaan, sebuah Toyota Hilux Revo dan Proton Saga FLX telah menyebabkan enam orang menaiki Proton Saga mengalami kecederaan, manakala dua penumpang Toyota Hilux Revo tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Daripada enam mangsa tersebut, dua mangsa cedera parah, iaitu seorang wanita berusia 44 tahun yang mengalami kecederaan di kepala dan patah kaki kiri, serta seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang turut cedera parah di bahagian kepala, kaki dan tangan kiri. Empat lagi mangsa hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Tambahnya lagi, pasukan bomba Kinabatangan menerima panggilan kecemasan pada jam 2.44 petang.
“Pasukan bomba yang tiba di lokasi pada jam 3:55 petang bertindak membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan bantuan orang awam. Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke hospital menggunakan dua ambulans KKM untuk rawatan lanjut. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3:39 petang,” katanya.