HomeUtamaBorneo Sevens 2025: Pasukan UAE dan China muncul juara

Borneo Sevens 2025: Pasukan UAE dan China muncul juara

Read Time:2 Minute, 15 Second

Oleh J. EVACHEL JOHN

SANDAKAN: KLK Borneo Sevens 2025 melabuhkan tirai dengan penuh gemilang hari ini, apabila kedua-dua kategori lelaki dan wanita dimenangi oleh pasukan yang membuat penampilan sulung dalam kejohanan berprestij ini.

Pasukan Shaheen 7s dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) muncul juara bagi kategori lelaki, manakala Hua Gan Guo Ji RC dari China mengungguli kategori wanita.

Pasukan Hua Gan Guo Ji RC muncul juara kategori wanita di kejohanan KLK Borneo Sevens 2025.

Sebagai juara, kedua-dua pasukan Shaheen 7s dan Hua Gan Guo Ji RC membawa pulang Trofi Cabaran serta wang tunai USD5,000.

Naib juara, Borneo Eagles dan Borneo Flyers, masing-masing menerima USD2,000.

Dalam aksi akhir yang sengit, pasukan tuan rumah Borneo Eagles tewas tipis 22-19 kepada Shaheen 7s, selepas mendahului pada separuh masa pertama. Manakala dalam kategori wanita, Hua Gan Guo Ji RC dari China menewaskan Borneo Flyers 22-10 menerusi penguasaan penuh sepanjang perlawanan.

Wakil Shaheen 7s, Sultan Ahli, menyifatkan kejohanan ini sebagai pengalaman yang mencabar tetapi berbaloi.

“Pengalaman ini memang luar biasa. Saya sudah beritahu rakan sepasukan sejak hari Pertama, kita bukan datang sekadar untuk melengkapkan jumlah pasukan, kita datang untuk menunjukkan kemampuan. Dan kami telah berjaya melakukannya,” katanya.

Wakil pasukan Hua Gan Guo Ji RC, Wang XinYao pula berbesar hati atas kejayaan pasukannya.

“Adalah satu penghormatan buat kami bertanding di kejohanan ini. Berkat usaha rakan sepasukan, kami berjaya membawa pulang kejuaraan,” ujarnya.

Ditanya sama ada mereka akan kembali untuk mempertahankan kejuaraan tahun hadapan, Wang berkata ia bergantung kepada jadual kelab mereka.

“Kami akan kembali ke China untuk membuat persiapan ke Sukan Kebangsaan. Sama ada kami kembali atau tidak, ia akan diputuskan selepas perbincangan antara kelab dan penganjur di sini,” tambahnya.

Walaupun jumlah penyertaan lebih rendah tahun ini serta gangguan cuaca pada awal kejohanan, Pengerusi Penganjur merangkap Presiden Eagles Rugby Club Sandakan, Vela Tan, menyifatkan kejohanan ini sebagai satu kejayaan besar.

“Ia satu kejohanan yang hebat. Perlawanan-perlawanan sangat sengit, tahap permainan sangat tinggi dan itulah yang kami sasarkan – menjadi antara kejohanan Ragbi Tujuh Sebelah kelab terbaik di Asia,” katanya.

Vela turut memuji prestasi pasukan baharu, terutamanya Shaheen 7s.

“Ini mungkin penyertaan pertama UAE di rantau ini, dan mereka menunjukkan prestasi yang sangat mengagumkan. Tahniah kepada mereka,” katanya.

Vela juga menekankan minat yang semakin meningkat terhadap kategori remaja, dan mendedahkan bahawa pihaknya merancang untuk memperluas penglibatan belia dalam kejohanan ini.

“Kami berharap untuk melancarkan Kejohanan Bawah-18 Antarabangsa Asia di Sandakan tahun hadapan sebagai sebahagian daripada Borneo Sevens. Jika berjaya, kita mungkin akan menerima penyertaan dari banyak negara Asia. Ini adalah satu langkah besar untuk pembangunan ragbi belia di rantau ini,” katanya.

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong, menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang di Eagles Rugby Club, Bandar Utama, Sandakan.

RELATED ARTICLES
Utama

Suami Antara Suspek Kehilangan Pamela Ling – Ketua Polis Negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular