HomeUtamaESSCOM serah sumbangan kepada 50 penerima golongan memerlukan

ESSCOM serah sumbangan kepada 50 penerima golongan memerlukan

Read Time:1 Minute, 50 Second

Lahad Datu : Seramai 50 penerima terdiri daripada golongan asnaf; anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) sekitar daerah ini menerima Sumbangan Aidilfitri Madani Perpaduan sempena Majlis Sambutan Hari Raya Madani yang berlangsung di Dewan Masyarakat Lahad Datu di sini.

Sumbangan itu disampaikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam majlis berkenaan.

Program yang dianjurkan oleh Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dengan kerjasama Pejabat Daerah Lahad Datu dan Jabatan Penjara Lahad Datu itu bertujuan merapatkan hubungan antara pemimpin, agensi kerajaan dan masyarakat setempat, khususnya golongan yang memerlukan perhatian menjelang Syawal.

Hadir sama memeriahkan majlis ialah Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos, Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM Datuk Dr. Jamaluddin Mohd. Ali, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, Timbalan Komander ESSCOM, Brigedier Jeneral Ismail Kamarudin, Pegawai Daerah Lahad Datu dan Firuz Idzualdeen @ Benetty Mohd. Dzul.

Majlis yang berlangsung seawal jam 11 pagi hingga 5 petang itu turut dihadiri lebih 3,000 tetamu sekitar daerah berkenaan.

ESSCOM dalam hantaran di Facebook menyatakan, sambutan Hari Raya Aidilifitri yang julung kali diadakan di Lahad Datu itu juga adalah signifikan dan seiring dengan nilai Madani serta aspirasi Sabah Maju Jaya yang bukan sekadar pertemuan menghidupkan tradisi, tetapi memperkukuh tekad dan harapan yang dikongsi bersama.

Selain itu, ia juga menterjemah aspirasi Kerajaan Perpaduan bahawa betapa pentingnya sinergi kerjasama melalui pendekatan Whole-of-Government (WoG) antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.

“Ia khususnya dalam mengukuhkan jambatan keyakinan, ruang perpaduan dan wahana menjulang martabat rakyat setelah 12 tahun kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) diwujudkan dan ESSCOM menerajui keselamatan serta kesejahteraan masyarakat di wilayah ini,” menurut hantaran itu.

Terdahulu, Joachim turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran program ini dan menyifatkannya sebagai satu inisiatif bertepatan dengan semangat Malaysia Madani, iaitu memperkukuhkan perpaduan dan keprihatinan terhadap rakyat.

“Majlis seperti ini bukan sahaja membawa keceriaan kepada para penerima, tetapi juga menjadi simbol solidariti kita semua dalam memastikan tiada golongan yang terpinggir dalam arus pembangunan negeri,” katanya.

Beliau turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh masyarakat Lahad Datu dan mengajak semua pihak untuk terus menyemai semangat perpaduan serta kasih sayang dalam kalangan komuniti. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

GRS sepakat mantapkan kerjasama menjelang PRN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular