HomeUtamaCEO ECoS buat laporan polis terhadap artikel fitnah oleh Sabahkini2

CEO ECoS buat laporan polis terhadap artikel fitnah oleh Sabahkini2

Read Time:2 Minute, 1 Second

KOTA KINABALU: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid telah membuat satu laporan polis berhubung dengan sebuah artikel berunsur fitnah yang disiarkan oleh portal berita Sabahkini2 bertajuk “Kerajaan Sabah Digesa Tamatkan CEO ECOS, Luluskan IPP Libaran Milik Besan Muhyiddin Tanpa Restu Kabinet” pada 17 April 2025.

Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Abdul Nasser berkata artikel tersebut didapati mengandungi pelbagai tuduhan palsu dan tidak berasas terhadap beliau secara peribadi dan profesional.

“Antara tuduhan tersebut termasuk dakwaan bahawa beliau meluluskan projek Independent Power Producer (IPP) Libaran milik besan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tanpa mendapat kelulusan Kabinet Negeri Sabah,” katanya.

Justeru, Abdul Nasser dengan tegas menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan yang terkandung dalam artikel berkenaan.

“Segala tindakan yang diambil Ketua Pegawai Eksekutif ECoS adalah berdasarkan undang-undang, peraturan, dasar dan prosedur rasmi yang telah ditetapkan oleh termasuk melaksanakan keputusan Majlis Tenaga Sabah sepertimana yang dimandatkan oleh Kabinet Negeri.

“Penerbitan artikel tersebut dilihat mempunyai niat jahat untuk mencemarkan nama baiknya dan merosakkan reputasi ECoS sebagai badan pengawal selia yang berwibawa,” tegasnya.

Selain itu, Abdul Nasser berkata artikel ini juga didapati cuba menimbulkan persepsi negatif terhadap Kerajaan Negeri Sabah secara keseluruhannya. Tuduhan-tuduhan yang dikemukakan dalam artikel tersebut bukan sahaja bersifat fitnah malah berpotensi menjejaskan kepercayaan awam terhadap tadbir urus tenaga di negeri ini.

Beliau menganggap serius perkara ini memandangkan ia boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat dan pelabur.

Katanya, laporan polis tersebut dibuat dengan beberapa tujuan penting Pertama, untuk memohon siasatan terperinci terhadap penulis artikel, pengendali portal Sabahkini2 dan mana-mana pihak yang terlibat dalam penyebaran maklumat palsu ini.

“Kedua, bagi mendesak tindakan undang-undang di bawah Seksyen 500 (fitnah jenayah) dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan, serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Ketiga, untuk mempertimbangkan tindakan sivil atas kerugian dan kerosakan reputasi yang dialami oleh dirinya dan ECOS,” jelasnya.

Abdul Nasser menyerahkan perkara ini sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya mengikut undang-undang dan menyatakan kesediaan penuh untuk memberikan kerjasama yang diperlukan dalam proses siasatan.

“Saya percaya kepada prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang, dan yakin bahawa kebenaran akan terbukti demi memelihara maruah individu dan integriti institusi awam yang saya pimpin,” kata beliau.

“Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat rasmi hanya melalui saluran-saluran yang sah bagi mengelakkan sebarang kekeliruan,” tambah beliau lagi.

Abdul Nasser dan ECoS menegaskan komitmennya untuk terus memastikan ketelusan dan integriti dalam semua urusan berkaitan tenaga di Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Alexander Nanta buat laporan polis, nafi terlibat skandal rasuah Pan Borneo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular