Oleh FLORIETA DIET
PENAMPANG: Projek menaik taraf Jalan Donggongon – Tambunan (dari Persimpangan ITCC ke Persimpangan Jalan Datuk Panglima Banting) dijangka siap pada Oktober 2026, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Katanya, projek bernilai RM299.76 juta ini telah diluluskan di bawah Rolling Plan-2, Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) ini dan telah dimulakan pada 25 Oktober 2022.
“Setakat ini, kemajuan projek mencatatkan pencapaian sebanyak 13.06 peratus. Projek ini akan meningkatkan tahap perkhidmatan jalan (Level of Service, LOS) daripada LOS E kepada sekurang-kurangnya ke LOS C semasa waktu puncak. Projek naik taraf ini bakal menjimatkan masa perjalanan sehingga 30 minit dan membantu menyuraikan aliran trafik yang sesak melalui peningkatan sistem perhubungan utama dari Kota Kinabalu ke Tambunan,” katanya selepas mendengar sesi taklimat daripada Jabatan Kerja Raya Penampang pada Ahad (20 April).
Namun, beliau menjelaskan kelancaran pelaksanaan projek tersebut agak terganggu kerana isu pengambilan tanah dan kos pengambilan tanah yang belum selesai. Sebanyak 144 lot dikenal pasti dalam kawasan projek, merangkumi 98 lot tanah dan 46 struktur, namun bayaran pampasan masih tertangguh meskipun proses pengukuran sudah dibuat.
Tambah beliau, peruntukan awal sebanyak RM30 juta tidak mencukupi untuk menampung kos pengambilan tanah tersebut.
“Selagi pembayaran belum dibuat, sudah tentulah kerja-kerja seperti pengalihan utiliti dan pembinaan jalan tidak boleh dilaksanakan di kawasan yang terlibat,”katanya.
Beliau juga menjelaskan, dalam masa terdekat ini, satu mesyuarat koordinasi diadakan bersama pihak yang berkenaan bagi menyelesaikan isu ini. Kontraktor tidak menghadapi masalah besar, namun isu pengambilan tanah dan utiliti menjadi kekangan utama mereka.
Kataya, skop projek berkenaan adalah merangkumi;
i. Menaik taraf Jalan Penampang Bypass dan Jalan Penampang – Tambunan dari lTCC ke Balai Polis Penampang daripada jalan berkembar empat lorong kepada jalan berkembar enam lorong sepanjang 2.5 kilometer (km).
ii. Menaik taraf jalan dari persimpangan Balai Polis ke persimpangan Jalan Datuk Panglima Banting daripada jalan tunggal dua lorong kepada jalan berkembar empat lorong sepanjang 1.6 km;
iii. Menaik taraf Jalan Penampang Lama daripada jalan berkembar empat lorong kepada jalan berkembar enam lorong sepanjang 0.8 km
iv. Membina sebuah persimpangan bertingkat di Bulatan Sigah sepanjang 580meter, termasuk dua kemudahan khas pusingan U di bawah struktur bertingkat tersebut;
v. Membina dua jambatan konkrit pratuang di Sungai Kibabaig sepanjang 30 meter
vi. Membina tiga pusingan U bermeter di dua lokasi strategik; serta
vii. Membina satu jejantas pejalan kaki di satu lokasi yang dikenal pasti.