Putatan : Gangguan bekalan air yang menjejaskan beberapa kawasan di Sepanggar dan Tuaran baru-baru ini berpunca daripada keretakan pada paip transmisi utama berdiameter 1,000 milimeter di Bakut Tuaran.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, kerja-kerja baik pulih kerosakan pada paip berkenaan mengambil masa selama dua hari dan bekalan pulih secara berperingkat bermula Khamis lalu.

Bagaimanapun katanya, terdapat kebocoran berlaku di Kampung Brunei Sepanggar akibat sambungan haram pada paip penghantar dari tangki simpanan utama (K1) ke tangki R13 yang terletak di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Katanya, kebocoran yang berlaku berjaya dibaiki pada hari sama dan paras air di tangki R13 kembali stabil pada Jumaat.
“Selepas baik pulih berjaya dilaksanakan pada Jumaat lalu, paras tangki R13 di UMS berjaya mencapai tahap yang baik lebih tiga meter dan seterusnya boleh disalurkan kepada kawasan pengguna.

“Namun demikian ada juga beberapa kawasan seperti Alamesra mengalami kelewatan pemulihan bekalan disebabkan ‘airlock’ atau udara terperangkap dalam saluran paip, yang memerlukan proses ‘flushing’ oleh pasukan Jabatan Air.
“Aduan tekanan rendah juga diterima di Kampung Likas, yang turut dikaitkan dengan sambungan paip haram,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Putatan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya berkata, Kerajaan mengambil pendekatan membekalkan tangki statik di lokasi terpilih bagi menangani isu kecurian air di kawasan setinggan.
Katanya, pemberian tangki statik tidak dapat dilaksanakan secara percuma sepenuhnya dan ianya bergantung kepada status sah komuniti setempat.
“Kawasan yang dikenalpasti sebagai penempatan haram sepenuhnya akan berdepan tindakan penguatkuasaan termasuk perobohan,” katanya.
Dalam pada itu, Shahelmey turut menyatakan keyakinan bahawa tekanan air akan kembali pulih sepenuhnya menjelang awal Julai, apabila projek pemasangan paip baharu dari Telibong 2 Fasa 2 disiapkan sepenuhnya.
Katanya, ketika ini, kapasiti bekalan hanya sekitar 100 hingga 105 juta liter sehari (MLD) sementara menunggu projek siap dan diuji menjelang hujung Jun. – SABAH MEDIA