HomeUtamaSerangan politik perlu ditangani bijak, rakyat Sabah mampu menilai – Azizah

Serangan politik perlu ditangani bijak, rakyat Sabah mampu menilai – Azizah

Read Time:2 Minute, 33 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Ketua Pergerakan Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun menyifatkan serangan politik dan penyebaran fitnah di media sosial sebagai lumrah dalam dunia politik, namun ia perlu ditangani secara matang dan berhemah.

Katanya, teknologi seperti media sosial boleh dimanfaatkan untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat, namun persoalannya sama ada kandungan yang dikongsi benar atau sebaliknya.

“Adakah bagus untuk rakyat dengar? Bolehkah mereka percaya 100 peratus? Atau kita sendiri perlu turun padang. Dalam dunia politik, serangan demi serangan memang satu perkara yang sentiasa berlaku,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Likas semalam.

Namun begitu, Azizah yakin rakyat Sabah cukup matang dan dapat menilai sendiri sejauh mana kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor telah membawa perubahan positif kepada negeri itu sejak empat tahun lalu.

“Kita melihat banyak perubahan yang berlaku, yang betul-betul memberikan manfaat kepada rakyat. Yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Itu yang saya percaya rakyat akan nilai. Terpulang kepada kita semua untuk memberikan penerangan, menyampaikan kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa rakyat akan faham dan menerima dengan baik jika sesuatu isu disampaikan dengan jelas dan berhemah.

“Daripada pengalaman saya, apabila saya turun padang, bercakap dengan rakyat dan nyatakan dengan jelas apa yang berlaku, mereka dapat menerima dan melihat kebenarannya,” katanya.

Mengulas mengenai peranan wanita dalam meningkatkan taraf hidup dan ekonomi keluarga, Azizah memaklumkan bahawa kerajaan negeri Sabah menerusi pelbagai agensi termasuk Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) dan Yayasan Usaha Maju (YUM) telah meningkatkan peruntukan untuk program pembangunan wanita setiap tahun sejak GRS mengambil alih pentadbiran.

Katanya, program-program ini menyentuh pelbagai aspek seperti kekeluargaan, keusahawanan, pendidikan kanak-kanak dan peningkatan ilmu kepada ibu tunggal serta wanita luar bandar.

“Bukan saja untuk menambah bilangan wanita dalam membuat keputusan, tetapi juga memperkasakan wanita di akar umbi. Ibu-ibu, ibu tunggal ini perlu dibantu secara berterusan supaya mereka dapat menjaga keluarga dan meningkatkan ekonomi rumah tangga mereka,” katanya.

Dalam masa sama, beliau melihat kepimpinan Hajiji sebagai proaktif dan responsif dalam membuka lebih banyak ruang kepada wanita memegang jawatan strategik termasuk dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Azizah sendiri kini Pengerusi Institut Pembangunan Sabah (IDS), manakala beberapa tokoh wanita lain turut memegang jawatan timbalan pengerusi dalam badan-badan berkaitan perumahan dan kewangan negeri.

“Inilah satu bentuk pengiktirafan terhadap wanita. Kita mahu lihat mereka terus diberikan tempat strategik, bukan sekadar mengisi ruang, tetapi memainkan peranan penting dalam merancang dan melaksanakan dasar,” katanya.

Jelasnya lagi, perjuangan wanita bukanlah untuk mengambil alih peranan lelaki, tetapi untuk memastikan keperluan dan pandangan wanita turut diambil kira dalam setiap keputusan kerajaan.

“Kita bercakap pasal 30 peratus, 70 peratus itu tetap lelaki. Tapi sekurang-kurangnya 30 peratus ini dapat memainkan peranan yang substantif dalam pembangunan negeri,” katanya.

Azizah menzahirkan harapan agar kerajaan GRS-PH Plus terus diberi peluang untuk mentadbir, memandangkan ia sebuah gabungan harmoni yang mencerminkan kepelbagaian rakyat Sabah.

“Kalau kita kata kita istimewa, hidup dalam keadaan harmonis, inilah masanya kita tunjukkan kepada semua bahawa kita boleh lakukan, bukan sahaja dalam kehidupan harian tetapi juga dalam politik. Kita jadi contoh terbaik dalam negara kita Malaysia,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Orang ramai dijemput meriahkan Regatta Lepa Semporna 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular