HomeUtamaStok penimbal gula putih bertapis di Sabah, Sarawak dan WP Labuan bermula...

Stok penimbal gula putih bertapis di Sabah, Sarawak dan WP Labuan bermula 1 Mei 2025

Read Time:1 Minute, 33 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

PAPAR: Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan penubuhan stok penimbal gula putih bertapis di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula 1 Mei 2025 sebagai langkah menangani isu gangguan bekalan yang kerap berlaku di wilayah berkenaan.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, keputusan itu dibuat susulan kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Mac lalu setelah mengambil kira kebergantungan penuh ketiga-tiga wilayah tersebut terhadap bekalan dari Semenanjung Malaysia.

“Keseluruhan bekalan gula putih bertapis di Sabah, Sarawak dan Labuan diperoleh dari Semenanjung Malaysia kerana ketiadaan pengilang di sana. Ini menyebabkan gangguan bekalan seperti yang berlaku secara serius antara Ogos hingga Oktober 2023,” kata ketika ditemui media selepas meghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Ahli Parlimen Papar dan ADUN Kawang di SMK Pengalat di sini, hari ini.

Langkah tersebut juga mengambil kira faktor logistik penghantaran yang memerlukan lima hari ke Sarawak dan tujuh hari ke Sabah melalui laluan perkapalan.

Sebagai tindakan lanjut, KPDN akan mengeluarkan Arahan Pengawal Bekalan kepada dua pengilang utama di Semenanjung iaitu MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd bagi membekalkan stok penimbal masing-masing sebanyak 1,000 metrik tan (1 juta kilogram) bagi keperluan Sabah dan Labuan, serta 1,000 metrik tan bagi Sarawak.

Selain itu, katanya, Kerajaan Persekutuan turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM38 juta setahun bagi subsidi pengangkutan perkapalan untuk penghantaran bekalan ke Sabah, Sarawak dan Labuan meningkat dua kali ganda berbanding RM19 juta sebelum ini, dengan kadar subsidi dinaikkan daripada 10 sen kepada 20 sen bagi setiap kilogram.

Dalam usaha memperkukuh kawalan bekalan dan harga, KPDN turut menubuhkan Jawatankuasa Penstabilan Bekalan dan Harga yang akan bersidang sekurang-kurangnya enam kali setahun. Jawatankuasa ini akan disertai kementerian, jabatan, agensi berkaitan serta pemain industri.

“KPDN berharap langkah-langkah bersepadu ini akan dapat memastikan kestabilan bekalan dan harga, sekali gus membantu meringankan kos sara hidup rakyat,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

GRS wajar ketuai PRN Sabah – Hajiji Noor

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular