Kuala Lumpur: Malaysia mencatat satu lagi kejayaan dalam pembangunan digital negara apabila 12 projek Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya disenarai pendek ke peringkat akhir Anugerah World Summit on the Information Society (WSIS) 2025.
Anugerah berprestij anjuran Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) itu mengiktiraf inisiatif digital yang memberi kesan besar terhadap pembangunan mampan global.
Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan projek yang disenaraikan itu meliputi pelbagai bidang seperti kesihatan, pertanian, pendidikan, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI) dan perkhidmatan kerajaan.
Antara projek yang tersenarai ialah inisiatif SMART600 yang melibatkan pemasangan 600 menara 4G di Sarawak; MetaHRise menggunakan teknologi Metaverse dalam latihan sumber manusia; CIMS untuk pengurusan infrastruktur komunikasi secara pintar; dan Sihat Xpress Smart Telehealth Kiosk yang menyediakan 2,000 kiosk kesihatan digital di seluruh negara.
Selain itu, projek seperti Connecting Kerling, Stingray II di Pulau Ketam, dan AI TEACH bersama Microsoft turut menekankan akses saksama kepada internet, pendidikan dan peluang pekerjaan, khususnya bagi komuniti luar bandar dan terpinggir.
MCMC juga diumumkan sebagai Platinum Strategic Partner dalam WSIS+20, mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam agenda transformasi digital.
Orang ramai boleh mengundi projek pilihan masing-masing secara dalam talian melalui kod QR yang disediakan oleh MCMC, dalam usaha membawa lebih banyak kejayaan tempatan ke pentas antarabangsa.