Kota Kinabalu : Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah mengadakan mesyuarat hari ini bagi menilai kemajuan semasa selain membincangkan isu-isu berkaitan pelaksanaan projek yang menjadi nadi pembangunan infrastruktur di negeri ini.
Menteri Kerja Raya Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi berkata, beberapa isu utama turut dibangkitkan pada mesyuarat berkenaan.
“Antaranya proses pengambilan balik tanah, pengalihan utiliti, serta pelaksanaan beberapa pakej kerja yang masih menghadapi cabaran.

“Jawatankuasa menekankan keperluan untuk semua pihak mengambil tindakan segera dan bersepadu, dengan pendekatan komunikasi yang berkesan demi menyelesaikan isu-isu ini dalam tempoh yang munasabah,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran yang dikemaskini di Facebooknya di sini hari ini.
Hadir sama pada mesyuarat itu Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Limus Jury.

Alexander berkata, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah atas komitmen tinggi dalam mempercepatkan pelaksanaan projek ini.
Katanya, ia termasuk beberapa inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Sabah.
“Antara inisiatif yang amat dihargai termasuklah pelantikan jurunilai swasta oleh Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah untuk mempercepatkan proses pengambilan balik tanah dan pembayaran pampasan.
“Selain itu, Kerajaan negeri turut menubuhkam unit khas di Sabah Electricity (SE) bagi menyelaras pengalihan utiliti secara lebih efisien,” katanya.
Dalam pada itu, Alexander berkata, Kementeriannya turut menyambut baik inisiatif-inisiatif itu dan akan terus bekerjasama erat dengan semua agensi berkaitan di peringkat negeri dan persekutuan bagi memastikan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dapat disiapkan mengikut jadual dan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat Sabah. – SABAH MEDIA / FOTO FB MENTERI KERJA RAYA