HomeUtamaKilang simen dalam hutan lebih sesuai, elak pencemaran di bandar – Masiung

Kilang simen dalam hutan lebih sesuai, elak pencemaran di bandar – Masiung

Read Time:2 Minute, 3 Second

TONGOD: Pembinaan kilang simen di kawasan hutan lebih sesuai berbanding di bandar kerana ia mampu mengelakkan masalah pencemaran dan gangguan alam sekitar kepada penduduk, kata Pengerusi Borneo Cement Sabah (BCS) Sdn Bhd, Datuk Masiung Banah.

“Apa masalahnya kilang simen dibina dalam hutan, takkan kita nak bina dalam bandar pula,” tegas beliau ketika ditemui media selepas merasmikan Jelajah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Kampung Sogo-Sogo pada 15 April lalu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini.

Menurut Masiung yang juga naib presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah, pemilihan lokasi di kawasan hutan bagi zon perindustrian simen di Tongod adalah lebih praktikal memandangkan bahan mentah utama seperti batu kapur, tanah liat, pasir dan batu turut tersedia di sekitar kawasan tersebut.

“Jika kilang ini dibina berhampiran kawasan bandar, sudah tentu timbul isu sisa pepejal dan pencemaran udara yang lebih kritikal,” katanya.

Dalam persidangan DUN minggu lalu, Bung secara sinis mempersoalkan kewajaran pembinaan kilang berkenaan yang didirikan di kawasan hutan tanpa bekalan asas seperti elektrik, air dan akses jalan raya. Ketua Perhubungan UMNO Sabah itu turut mendakwa pelabur utama telah menarik diri dan aktiviti pembalakan sedang berlaku di lokasi terbabit.

Menjawab dakwaan tersebut, Masiung yang juga ADUN Kuamut menyifatkan kenyataan Bung sebagai tidak berasas dan berkemungkinan bermotifkan agenda politik tertentu.

“Saya hairan kenapa Bung tidak menyokong projek ini sedangkan ia membawa manfaat besar kepada rakyat Tongod, termasuk peluang pekerjaan kepada lebih 1,000 penduduk tempatan serta membuka ruang perniagaan kepada komuniti setempat.

“Sebagai Ahli Parlimen kawasan ini, sepatutnya beliau menyokong usaha murni tersebut, bukannya menyebarkan persepsi negatif berdasarkan cerita kedai kopi,” katanya.

Masiung turut menafikan wujud sebarang aktiviti pembalakan di kawasan pembinaan kilang tersebut, sebaliknya menjelaskan bahawa kawasan itu kebanyakannya terdiri daripada formasi batu kapur.

Katanya lagi, pelabur utama dari China, Sinoma International Engineering Co. Ltd bersama BCS kini sedang giat menjalankan kerja-kerja awal termasuk pembinaan jalan dari tapak kilang di Kampung Kayawoi ke jalan utama di Kampung Matiku, Nabawan.

Kerja-kerja penyambungan elektrik, bekalan air dan pembinaan menara telekomunikasi optik juga sedang dijalankan serentak bagi menyokong pembangunan infrastruktur kilang berkenaan.

Projek kilang klinker dan simen berimpak tinggi itu dianggarkan bernilai RM1.2 bilion dan telah dilancarkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada April tahun lalu.

Dalam majlis yang sama, Masiung turut menerima kemasukan 112 ahli baharu menyertai Parti Gagasan Rakyat Kuamut yang diketuai bekas guru, Micheal Tamoi.

RELATED ARTICLES
Utama

Suami didakwa bunuh isteri mengaku tidak bersalah, perbicaraan Julai ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular