Kota Kinabalu : Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Christina Liew gagal mempertahankan jawatan sebagai Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kota Kinabalu dalam pemilihan parti itu.
Beliau merupakan antara pemimpin paling lama dalam PKR Sabah kalah kepada pencabarnya Lee Li Mei yang memperoleh 1,381 undi berbanding Christina yang hanya meraih 1,157 undi menerusi keputusan yang diumumkan lewat malam tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api itu adalah antara pemimpin kanan PKR Sabah yang tewas pada pemilihan kali ini.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berjaya mempertahankan Ketua Cabang Kota Belud.
Ahli Parlimen Sepanggar itu mendapat 1,405 undi berbanding pencabarnya, Madeli @ Modily Bangali yang mendapat 100 undi dan Azhrie Jenaim yang hanya menerima 67 undi.
Selain Mustapha, turut mempertahankan jawatan ialah Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Peto Galim, bagi pemilihan Ketua Cabang Sepanggar.
Timbalan Pengerusi MPN Sabah yang juga ADUN Inanam itu mendapat 607 undi, menewaskan pencabarnya, Joseph Linggian @ Joseph Chong yang hanya mendapat 178 undi.
Bekas Pengerusi MPN Sabah, Datuk Dr Sangkar Rasam turut mempertahankan Ketua Cabang Keningau setelah mendapat 1,720 undi berbanding pencabarnya yang juga adiknya, Antakor Rasam yang hanya menerima 295 undi.
Sementara itu, Setiausaha PKR Sabah, Sazalye Donol Abdullah turut tewas pada pemilihan Ketua Cabang Kota Marudu yang menyaksikan beliau kalah di tangan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Zaidi Jatil.
Zaidi merampas jawatan Ketua Cabang Kota Marudu setelah meraih 1,031 undi berbanding Sazalye yang hanya mendapat 548 undi dalam pertandingan empat penjuru.
Dua lagi pencabar iaitu Jolius Majawai mendapat 648 undi dan Jasmon Jaji dengan 182 undi daripada 2,405 kertas undi yang dikeluarkan bagi cabang berkenaan.
Sementara itu, di Pensiangan, Timbalan Ketua Wanita Keadilan Sabah yang juga isteri Sangkar, Datin Rufinah Pengeran merampas jawatan Ketua Cabang daripada anak saudara Sangkar, Raymond Ahuar.
Rufinah mendapat sokongan yang besar dengan 2,694 undi, berbanding Raymond yang hanya mendapat 823 undi dan seorang lagi pencabar, Danny Anthony Andipai dengan 81 undi.
Antara Ketua Cabang lain di Sabah yang berjaya mempertahankan jawatan masing-masing ialah Awang Husaini Sahari (Putatan), Romansa Lamin (Silam), Dikin Musah (Beaufort) dan Wendy Agong Baruh (Sipitang).