HomeUtamaTiga cubaan seludup dadah melalui kargo udara gagal – JKDM Sabah

Tiga cubaan seludup dadah melalui kargo udara gagal – JKDM Sabah

Read Time:1 Minute, 59 Second

Oleh FLORIETA DIET

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya mematahkan tiga cubaan penyeludupan dadah melalui kargo udara di sini melibatkan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM2,429,414.70.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Sabah Saidin Jalaluddin berkata, rampasan melibatkan tiga jenis dadah berbahaya iaitu Methamphetamine, Ketamine dan Ganja. Operasi dijalankan oleh anggota Bahagian Penguatkuasaan, Cawangan Narkotik, JKDM Kota Kinabalu dalam tiga tindakan yang berasingan.

“Rampasan terbaharu ini adalah yang terbesar setakat April tahun ini, dengan jumlah berat dadah yang dirampas mencecah lebih 79 kilogram. Kami ingin tegaskan bahawa usaha JKDM tidak akan berhenti dalam membanteras aktiviti penyeludupan, khususnya membabitkan dadah berbahaya yang cuba dibawa masuk ke negeri ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Saidin berkata, dalam rampasan pertama pada 28 Mac kira-kira jam 6.25 petang, sepasukan anggota kastam telah merampas empat bungkusan tanpa nama di premis Mas Kargo di sini. Pemeriksaan mendapati bungkusan itu mengandungi dadah disyaki jenis Methamphetamine seberat 71.719 kilogram dengan nilai anggaran RM2,295,008.

Sementara itu, dalam kes kedua, pada 1 Mac sekitar jam 8 pagi, satu lagi rampasan melibatkan 434 gram dadah disyaki Ketamine bernilai RM86,800 dilakukan di Pos Aviation, di sini.

Rampasan ketiga pula dibuat dalam operasi yang dijalankan dari 31 Januari hingga 28 Februari di Mas Kargo, melibatkan empat bungkusan mengandungi dadah disyaki jenis ganja seberat 15.357kilogram dengan anggaran nilai RM47,606.70.

“Bungkusan-bungkusan ini dipercayai dihantar dari Semenanjung Malaysia dan tiba menggunakan perkhidmatan penerbangan, namun tiada maklumat nama pengirim atau penerima yang dinyatakan. Walaupun terdapat nombor telefon disertakan, ia didapati tidak aktif apabila dihubungi.

“Selepas pasukan menjalankan siasatan dan pengumpulan maklumat di kawasan penerimaan barang tersebut, pasukan operasi telah berada di lokasi selama lebih dua jam, namun tiada individu tampil menuntut bungkusan berkenaan. Selepas menunggu lebih dua jam tanpa kehadiran mana-mana pihak, kami mengambil keputusan untuk melakukan rampasan terhadap bungkusan yang mencurigakan itu,” katanya.

Tambahnya lagi, kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan sebatan jika sabit kesalahan.

Orang ramai diminta membantu JKDM dalam usaha membanteras penyeludupan khususnya melibatkan dadah, rokok, minuman keras, mercun dan kenderaan, serta tidak terlibat dengan sebarang aktiviti tersebut. Sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau terus ke pejabat kastam berdekatan. JKDM memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Monsun Barat Daya bermula Sabtu ini, risiko jerebu meningkat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular