HomeUtama103 sekolah terjejas banjir di Sabah terima bantuan TPNS

103 sekolah terjejas banjir di Sabah terima bantuan TPNS

Read Time:1 Minute, 29 Second

Oleh ERDIE AB WAHID

Kota Kinabalu: Sebanyak 103 buah sekolah di seluruh Sabah yang terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini menerima bantuan berjumlah RM515,000 yang disalurkan menerusi Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, semua sekolah yang terlibat masing-masing menerima bantuan berjumlah RM5,000.

Katanya, bantuan itu adalah bagi membiayai perbelanjaan dan kos kerosakan berkaitan akibat bencana banjir berkenaan.

“Di samping itu, mana-mana sekolah yang mengalami kerosakan komputer dan peralatan berkaitan lainnya akibat bencana sama juga akan kita bantu di bawah program Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH).

“BISBAH memang kita berikan setiap tahun kepada semua sekolah, tapi apabila ada sekolah yang terjejas banjir dan bencana lainnya, pihak sekolah boleh memohon dan maklumkan kepada kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan TPNS dan sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Bangkuaso Menara Kinabalu, di sini.

Hadir sama Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar dan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin.

Semua sekolah yang terjejas banjir adalah melibatkan  tujuh daerah antaranya Kinabatangan, Telupid, Beluran, Keningau, Tenom, Beaufort dan Membakut.

Sementara itu, Arifin berkata, TPNS telah meluluskan sebanyak 200 permohonan bantuan pendidikan membabitkan peruntukan lebih RM800,000 pada mesyuarat ketiga yang diadakan hari ini.

Katanya, antara permohonan itu melibatkan pengajian di peringkat Diploma, Asasi, Matrikulasi, Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah.

“Saya harap akan lebih ramai anak-anak kita mengambil pengajian di peringkat Master seterusnya sambung ke peringkat PhD atau Kedoktoran kerana ini sangat penting untuk melahirkan ramai intelek di Sabah.

“Saya beri jaminan, kita akan bantu melalui TPNS atau melalui Biasiswa Kerajaan Negeri atau Yayasan Sabah dan bagi yang belajar pengajian Islam, kita juga akan bantu melalui Majlis Ugama Islam Sabah (Muis),” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Pembangunan daerah perlukan komitmen penuh Ahli Majlis Daerah – Dr Joachim

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular