Oleh FLORIETA DIET
KOTA KINABALU: Sebanyak 60 peratus daripada pengeluaran koko negara disumbangkan oleh Sabah, sekali gus menjadikan negeri ini sebagai peneraju utama industri koko Malaysia dengan perolehan eksport mencecah RM13.09 bilion setakat ini.
Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia Datuk Dr Ramle Kasin berkata, sumbangan besar itu didorong oleh permintaan kukuh dari pasaran luar negara seperti Singapura, Amerika Syarikat, Jepun serta beberapa negara di rantau Asia.
“Selain daripada jumlah pengeluaran yang tinggi, industri koko turut menikmati kenaikan harga sejak tahun lalu. Harga koko telah mendapat kenaikan daripada tahun 2023 ke 2024 dalam tiga kali ganda. Kalau dulu sekitar RM8,000 satu tan, sekarang mencapai dalam RM20,000 ke RM35,000 satu tan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Malam Penghargaan Bersama Media di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Menurutnya, peningkatan ini memberi insentif besar kepada kira-kira 3,000 pengusaha dan petani koko di Sabah yang mengusahakan lebih 3,000 hektar tanaman, terutamanya di kawasan seperti Ranau, Tenom, Kota Marudu, Keningau dan Kuamut.
Tambahnya lagi, keupayaan Sabah untuk kekal kompetitif dalam industri koko global turut dipacu oleh faktor kualiti bahan tanaman, penggunaan teknologi pemprosesan moden, pembungkusan yang baik, serta tenaga kerja mahir.
“Usaha berterusan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), termasuk penggunaan teknologi IoT, turut membantu meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual.
“Namun, cuaca merupakan antara faktor yang mempengaruhi pengeluaran hasil tanaman ini. Bagaimanapun, kita mempunyai bahan tanaman baik dan mampu menyesuaikan diri dengan keadaan kawasan serta perubahan cuaca..tetapi ia masih tetap menjadi cabaran kepada petani koko,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Koko Malaysia Datuk Matbali Musah berkata Sabah bakal menjadi tuan rumah kepada Malaysian International Cocoa Fair (MICF) yang dijadual berlangsung pada Mei ini, sekali gus mengangkat negeri itu sebagai pusat penganjuran acara antarabangsa berprestij dalam industri koko.
“Penganjuran MICF merupakan satu platform penting untuk mempromosikan industri koko negara ke peringkat global serta memperkukuh kerjasama antara pemain industri tempatan dan antarabangsa.
“MICF ini adalah satu program yang harus kita kembangkan. Saya bersyukur kerana Sabah dipilih sebagai lokasi penganjuran dan berterima kasih kepada Kementerian Perladangan dan Komoditi serta kerajaan negeri atas sokongan dan pembiayaan sebahagian daripada program ini,” katanya.
Matbali turut memaklumkan bahawa penyertaan bagi MICF dibuka secara meluas, termasuk kepada peserta antarabangsa.
“Negara-negara dari Eropah, Jepun dan rantau Asia dijangka mengambil bahagian dalam acara tersebut.
“Penganjuran MICF dijangka berlangsung selama empat hari bermula pada 24 hingga 27 Mei 2025 ini menjadi medan penting untuk mempamerkan inovasi dalam industri koko termasuk produk, teknologi, dan peluang pasaran baharu,” ujarnya.