Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) akan menggunakan kaedah secara dalam talian bagi permohonan mengikuti kursus pra perkahwinan dan bernikah untuk bakal pengantin baharu di Sabah bermula Jun depan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, langkah yang diperkenalkan JHEAINS itu adalah bertujuan bagi memudahkan urusan berkaitan hal-ehwal perkahwinan di negeri ini.

Beliau yang juga Exco Agama dan Pendidikan Sabah berkata, JHEAINS sebelum ini telah memperkenalkan permohonan kad atau sijil nikah secara dalam talian bagi memudahkan pasangan mendapatkan dokumen berkenaan yang akan diberi dalam bentuk digital.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada JHEAINS kerana memperkenalkan beberapa sistem atau cara digital dalam mempermudahkan urusan umat termasuk yang sudah dilaksanakan, e-nikah atau bagaimana kita mendapat surat atau kad nikah digital.
“Selepas ini kursus pra perkahwinan juga boleh dimohon melalui perkhidmatan digital dan saya juga meminta supaya lebih banyak urusan yang dilaksanakan berhubung dengan rakyat dan masyarakat, dilaksanakan secara digital.
“Ini selaras dengan pendekatan kerajaan negeri seperti diminta oleh Ketua Menteri untuk mempermudah segala urusan berkaitan hal keagamaan dan urusan lain rakyat di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Kesejahteraan Belia Madani: Mental, Fizikal dan Rohani dan Kursus Perdana Pra Perkahwinan Islam, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah JHEAINS, Datuk Jumain Abdul Ghani.
Seminar itu disertai kira-kira 500 belia termasuk bakal pengantin baharu.
Dalam pada itu, Arifin berkata, pihaknya juga mahu agar lebih banyak kursus pra perkahwinan dilaksanakan di setiap daerah di Sabah bagi memudahkan bakal pengantin menyertainya.
Katanya, penganjuran seminar dan kursus pra perkahwinan berskala besar yang julung kali diadakan di negeri ini juga disifatkan sebagai langkah yang baik dan wajar dikembangkan ke seluruh negeri.
“Saya meminta supaya program seumpama ini dikembangkan atau dilebarkan ke peringkat daerah atau bahagian kerana ia perlu untuk memberikan kesedaran kepada belia dan mereka yang akan menuju ke alam rumah tangga,” katanya. – SABAH MEDIA