HomeUtamaJetama cipta dua rekod MBOR melalui Program Pembersihan Dasar Laut di Semporna

Jetama cipta dua rekod MBOR melalui Program Pembersihan Dasar Laut di Semporna

Read Time:1 Minute, 51 Second

KOTA KINABALU: Jetama Sdn Bhd mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya mencipta dua rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi program Jetama Annual Underwater Clean-Up 2025 yang berlangsung baru-baru ini di perairan Pulau Mabul, Semporna.

Kejayaan itu sekaligus mengukuhkan kedudukan syarikat milik kerajaan negeri Sabah tersebut sebagai peneraju dalam inisiatif kelestarian dan pemuliharaan alam sekitar, khususnya dalam konteks pemulihan ekosistem marin.

Dua pencapaian luar biasa yang dicatat dan disahkan oleh MBOR ialah “Heaviest Marine Debris Underwater Clean-Up in A Day” dengan kutipan sebanyak 2,171 kilogram sisa laut, dan “Heaviest Plastic Waste Underwater Clean-Up in A Day” dengan jumlah 1,578 kilogram sisa plastik kedua-duanya dilaksanakan dalam masa sehari dengan penyertaan kurang daripada 20 penyelam profesional.

Ketua Pegawai Eksekutif Jetama Sdn Bhd, Datuk Ahmad Naim Uddang berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil komitmen berterusan syarikat dalam menjayakan agenda tanggungjawab sosial korporat yang berpaksikan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Kita bukan sekadar mencipta rekod untuk dikenang, tetapi mahu meletakkan penanda aras baharu bagi aktiviti pembersihan dasar laut di Malaysia. Impak sebenar terletak pada jumlah sisa yang berjaya dikutip, bukan pada jumlah peserta atau tempoh masa,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menyatakan bahawa program berimpak tinggi itu turut dijalankan bersempena bulan Ramadan, dan mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk Persatuan Penyelam Profesional Semporna, Persatuan Pelancongan Semporna, Polis Marin serta Majlis Daerah Semporna.

Tambah beliau, Jetama mengalu-alukan lebih banyak organisasi untuk mencabar rekod yang telah dicipta, sebagai galakan kepada usaha pemuliharaan laut yang lebih meluas.

“Jika ada pihak yang berjaya mengatasi rekod ini, itu kemenangan untuk alam sekitar. Namun jika tiada, percayalah Jetama akan kembali dengan usaha yang lebih besar,” katanya lagi.

Beliau turut menjelaskan bahawa pengiktirafan yang diterima bukanlah matlamat utama, sebaliknya menjadi pemangkin kepada pelaksanaan program jangka panjang yang turut melibatkan aspek pendidikan dan penyertaan komuniti dalam pemuliharaan alam sekitar.

Sebagai sebuah syarikat GLC yang menguruskan loji rawatan kumbahan utama di Sabah, Jetama Sdn Bhd terus membuktikan bahawa organisasi tempatan mampu memberi impak besar di peringkat nasional menerusi perancangan strategik dan kerjasama kolektif.

Turut hadir dalam majlis penyerahan sijil pengiktirafan MBOR ialah Pengerusi Jetama Sdn Bhd, Datuk Yussof yang menerima pengiktirafan tersebut daripada pegawai rasmi MBOR, Siti Nurhanim dan Megat Faris Hussein.

RELATED ARTICLES
PolitikUtama

GRS tiada masalah tanding solo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular