Kota Kinabalu : Pelajar berkelayakan khususnya di negeri ini dipelawa untuk memohon tajaan dermasiswa, biasiswa dan pinjaman pengajian tinggi Yayasan Sabah bagi sesi pengajian 2025.
Pengarah Yayasan Sabah Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar berkata, inisiatif itu bertujuan bagi memberi sokongan kewangan kepada pelajar Sabah yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat Sijil, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana, dan Doktor Falsafah (PhD).
Katanya, dengan pelaksanaan tajaan itu, pihaknya berharap dapat membuka lebih banyak peluang pendidikan kepada anak-anak Sabah yang berpotensi.
“Kami memberi keutamaan kepada mereka yang berasal dari negeri ini kerana kami ingin melihat lebih ramai warga Sabah yang berjaya dalam bidang akademik dan profesional.
“Antara jenis tajaan yang ditawarkan termasuk Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (BCNS) bagi pelajar cemerlang SPM 2024, Biasiswa Pengajian Tinggi di IPTA/IPTS dalam bidang Pertanian, Seni Bina, Ukur Bahan, Keusahawanan, Pergigian dan Pengajian Islam serta biasiswa untuk pengajian di luar negara seperti Indonesia, Mesir, dan Rusia,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Gulamhaidar berkata, di samping itu, pinjaman pengajian turut disediakan untuk pelajar yang tidak memenuhi syarat biasiswa atau dermasiswa.
Katanya, pihaknya turut menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat untuk memanfaatkan peluang bagi melanjutkan pengajian mereka ke tahap yang lebih tinggi.
“Kami yakin bahawa pendidikan adalah kunci kejayaan masa depan. Program ini merupakan manifestasi keprihatinan Kumpulan Yayasan Sabah terhadap keperluan pendidikan tinggi anak-anak Sabah.
“Ia bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan ibu bapa, malah membuka peluang kepada para pelajar untuk melanjutkan pengajian tanpa halangan,” katanya.
Dalam pada itu, Gulamhaidar berkata, pihaknya turut berharap dengan adanya inisiatif seperti itu akan lebih ramai pelajar dari Sabah dapat merealisasikan impian seterusnya dapat menyumbang semula kepada pembangunan negeri.
Bagi pemohon yang berminat, permohonan boleh dilakukan secara dalam talian melalui Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS) di https://ptps.sabah.gov.my.
Tarikh tutup permohonan ialah pada 30 Jun 2025. Semua borang permohonan yang lengkap perlu dihantar ke alamat Bahagian Pembangunan Pendidikan, Kumpulan Yayasan Sabah, Aras 5, Menara Tun Mustapha, Teluk Likas, Kota Kinabalu.
Untuk maklumat lanjut mengenai syarat-syarat permohonan dan jenis tajaan yang tersedia, pemohon boleh melayari laman web Kumpulan Yayasan Sabah di https://www.yayasansabahgroup.org.my atau menghubungi Bahagian Pembangunan Pendidikan di talian 088-421123/125/126/127/128. – SABAH MEDIA