Kota Kinabalu : Pasukan Putera C berjaya menjuarai kejohanan terbuka Sepak Takraw Piala Mayor Bandaraya Kota Kinabalu 2025 yang diadakan selama tiga hari berakhir Sabtu lalu.
Kejohanan yang dianjurkan sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-25 Jubli Perak Bandaraya Kota Kinabalu itu telah berlangsung di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu.

Majlis perasmian kejohanan disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Luar Bandar dan Penguatkuasaan), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Karim Rahim yang mewakili Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah.
Dengan kemenangan itu, pasukan Putera C berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM3,000 dan naib johan dimenangi pasukan kumpulan Wira yang membawa pulang wang tunai bernilai RM2,000.

Sementara itu, tempat ketiga bersama disandang oleh pasukan Century dan Politeknik, masing-masing membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000.
Terdahulu, dalam teks ucapan perasmian, Sabin berkata, penganjuran kejohanan itu menjadi cerminan kepada semangat kesukanan masyarakat.
Selain itu katanya, acara itu juga menunjukkan bahawa minat terhadap sukan tradisional seperti sepak takraw terus berkembang pesat, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Tambah beliau, sukan seperti sepak takraw merupakan medium perpaduan yang sangat berkesan, ia bukan sekadar permainan di gelanggang, tetapi turut memainkan peranan besar dalam menghubungkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
Kejohanan itu menyaksikan penglibatan daripada 18 Regu yang melibatkan lebih 150 pemain sepak takraw dari seluruh Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
DBKK akan sentiasa komited dalam mendukung usaha memperkasakan agenda sukan komuniti seiring usaha ke arah membina bandar raya sihat dan sejahtera. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK