HomeUtamaKerajaan Sabah komited memperkasa usahawan wanita muda

Kerajaan Sabah komited memperkasa usahawan wanita muda

Read Time:1 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah komited memperkasa penyertaan wanita muda dalam bidang keusahawanan sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan di negeri ini.

Sehubungan itu, Institut Kajian Pembangunan (Sabah) atau IDS dan Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC), dengan kerjasama Pejabat Daerah Beaufort, akan menganjurkan Program Memperkasa Usahawan Wanita Muda Sabah: Kuasa Wanita, Kuasa Ekonomi pada Sabtu ini, 26 April 2025, bertempat di Dewan Pa’ Musa, Beaufort.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan Memperkasa Usahawan Wanita Muda yang bertemakan Let the Journey Begin, yang telah dilancarkan secara rasmi pada 26 Februari lalu.

Inisiatif tersebut adalah hasil kerjasama strategik IDS dan SCC bagi memperluas akses kepada pembiayaan, bimbingan, latihan dan strategi pemasaran – selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri memperkukuh peranan wanita dalam pembangunan ekonomi.

Menurut Ketua Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul, pemberdayaan wanita muda dalam bidang keusahawanan adalah antara strategi penting ke arah pembangunan mampan negeri ini.

“Melalui program ini, IDS komited membina ekosistem sokongan yang inklusif bagi merangsang inovasi tempatan dan melahirkan generasi usahawan wanita yang berdaya saing, berpengetahuan dan berwawasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pendekatan holistik yang diambil bukan sahaja membuka ruang kepada pembelajaran dan kerjasama, malah turut menyumbang secara signifikan kepada kemajuan sosioekonomi negeri.

Antara objektif utama program termasuk mewujudkan rangkaian usahawan muda, meningkatkan kesedaran terhadap peluang sokongan perniagaan yang tersedia, serta memperkukuh literasi digital dalam kalangan wanita luar bandar.

Program ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan keusahawanan luar bandar, khususnya dalam kalangan wanita muda sejajar dengan aspirasi negeri menuju ekonomi yang inklusif, progresif dan mampan.

Untuk maklumat lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh menghubungi Penyelaras Program, Royaini Matusin, menerusi e-mel royaini.matusin@ids.org.my atau telefon 088-450 000.

RELATED ARTICLES
Utama

Tiga rumah musnah dalam kebakaran di Batu 2, Kg Baru, Tawau

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular