Kota Kinabalu : Masalah kewangan dikenal pasti sebagai punca utama perceraian dalam kalangan pasangan muda di negeri ini.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Jumain Abdul Ghani, berkata isu itu sering menjadi ‘akar’ kepada pelbagai masalah yang menjejaskan hubungan pasangan seperti ketidakfahaman suami isteri.
“Masalah kewangan itu akan membesar dan menimbulkan antaranya masalah ilmu, masalah persediaan, masalah mengenai ketidaksefahaman.
“Itu semua bermula dari kewangan, kebanyakannya bermula daripada kewangan, ia berkembang. Jadi kita mengharapkan dapat mengupas perkara ini supaya bakal pasangan mengambil berat mengenai isu-isu yang kita bangkitkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Seminar Kesejahteraan Belia Madani: Mental, Fizikal dan Rohani dan Kursus Perdana Pra Perkahwinan Islam, di sini semalam.
Majlis itu dirasmikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Jumain berkata, masalah kewangan bermaksud berlaku ketidakstabilan kewangan selepas mendirikan rumah tangga.
“Sebab itu apabila mendirikan rumah tangga, pastikan kita disokong dengan ekonomi yang kukuh.
“Kalau tidak kukuh, tapi dia berusaha untuk mencari kecukupan hidupnya, rajin, tidak malas dan sebagainya,” katanya.
Berdasarkan statistik, katanya sebanyak 2,322 kes perceraian direkodkan di Sabah pada tahun lalu, manakala 2,499 kes pada 2023 dan 2,876 kes pada 2022.
Selain berkaitan kewangan, punca lain katanya ialah ketidakserasian pasangan, sikap curang atau tidak jujur pasangan, keganasan rumah tangga, campur tangan keluarga dan tiada persefahaman.
Turut menjadi punca, katanya ialah masalah kesihatan mental, penyalahgunaan dadah dan alkohol, ketidakpuasan seksual, perkahwinan terlalu tua, tiada rasa tanggungjawab pasangan dan sikap lepas tangan menangani masalah rumah tangga. – SABAH MEDIA