HomeUtamaMSSD Kota Kinabalu: Kejohanan gimnastik artistik 2025 serlah bakat muda

MSSD Kota Kinabalu: Kejohanan gimnastik artistik 2025 serlah bakat muda

Read Time:2 Minute, 3 Second

Oleh J. EVACHEL JOHN

KOTA KINABALU: Aksi lincah dan bertenaga 68 gimnas muda memeriahkan Kejohanan Gimnastik Artistik Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Kota Kinabalu 2025 yang berlangsung di Kompleks Sukan Likas, sekali gus menyerlahkan potensi besar dalam kalangan atlet pelapis daerah ini.

Selama dua hari, Dewan Gimnastik bergema dengan sorakan dan semangat kesukanan tinggi, menyaksikan pertarungan sengit antara peserta dalam usaha merebut tempat ke peringkat Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSSS).

Para gimnas kategori bawah 12 dan 15 tahun yang akan mewakili daerah Kota Kinabalu ke MSSS. – Foto ihsan SK Stella Maris

Kejohanan yang berlangsung pada 21 dan 22 April (Isnin dan Selasa) ini dikelolakan oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Stella Maris dan melibatkan penyertaan daripada 23 buah sekolah rendah dan menengah sekitar Kota Kinabalu.

Pertandingan dibahagikan kepada empat kategori iaitu Lelaki Bawah 12 Tahun, Lelaki Bawah 15 Tahun, Perempuan Bawah 12 Tahun dan Perempuan Bawah 15 Tahun. Acara yang dipertandingkan adalah Palang Bertingkat, Melombol, Senaman Lantai, Batang Titian, Kekuda Berpelana dan Palang Sejajar.

Dalam ucapan alu-aluannya, Guru Besar SK Stella Maris, James Johnny merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk para guru, jurulatih, juri pertandingan dan ibu bapa atas komitmen dalam menjayakan kejohanan ini.

“Saingan MSSD kali ini agak sengit. Setiap gimnas menunjukkan usaha terbaik mereka, dan ini membuktikan adanya potensi besar dalam kalangan atlet muda di Kota Kinabalu yang boleh terus digilap untuk masa depan sukan gimnastik.

“Seramai 24 gimnas telah terpilih mewakili daerah Kota Kinabalu untuk bertanding di peringkat negeri (MSSS) yang dijangka berlangsung bulan hadapan,” katanya, sambil menambah 12 gimnas kategori lelaki dan perempuan bawah 18 tahun layak mara secara automatik ke peringkat MSSS.

Beliau turut menekankan pentingnya latihan berterusan serta peranan jurulatih dalam membentuk atlet yang bukan sahaja berbakat, tetapi juga berdisiplin dan konsisten dalam meningkatkan prestasi.

“Ini adalah hasil latihan berterusan dan kesungguhan para gimnas. Pemilihan atlet yang teliti oleh jurulatih serta sokongan ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam perkembangan dan kelangsungan latihan atlet,” katanya.

Kejohanan ini dijalankan mengikut undang-undang Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG), Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) serta Peraturan Am Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

Menurut James, objektif kejohanan adalah untuk mencungkil bakat dan kebolehan sedia ada dalam kalangan murid, selain memupuk minat terhadap sukan gimnastik di peringkat sekolah.

“Penyertaan pelajar dalam kejohanan ini dapat memupuk semangat kesukanan dan turut menyumbang kepada pemarkahan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK),” katanya.

Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu, Bunsu Gaga telah hadir bagi merasmikan kejohanan tersebut.

RELATED ARTICLES
Utama

Suami didakwa bunuh isteri mengaku tidak bersalah, perbicaraan Julai ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular