Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bakal memperkenalkan tiga kadar harga zakat fitrah bermula Ramadan tahun depan bagi memberi pilihan kepada umat Islam berdasarkan jenis beras yang dimakan seharian.
Timbalan Yang Dipertua MUIS Datuk Malai Ali Malai Ali Malai Ahmad berkata, langkah itu diambil setelah mengambil kira kehendak umat Islam yang mahukan sistem zakat fitrah lebih fleksibel dan adil mengikut kemampuan masing-masing.
“InsyaAllah pada bulan Ramadan tahun depan, kita akan membuat pembaharuan tentang kadar harga kutipan zakat sebagaimana yang telah diumumkan oleh Exco Agama kita Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
“Kita akan memperkenalkan tiga kadar zakat fitrah, iaitu mengikut harga beras biasa, sederhana, dan mahal. Ini untuk memudahkan umat Islam membayar zakat mengikut jenis beras yang mereka makan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Wisma MUIS, di sini hari ini.
Pada tahun ini, kadar zakat fitrah di Sabah dikenakan hanya satu kadar iaitu sebanyak RM7.50 dan kadar itu ditentukan berdasarkan sukatan satu gantang Baghdad atau 2.7 kilogram beras yang dimakan majoriti penduduk di negeri itu.
Sementara itu, Malai Ali berkata, sepanjang bulan Ramadan lalu, seramai 2,200 wakil amil telah berjaya melaksanakan tugas pengagihan zakat kepada golongan fakir miskin dan asnaf, melibatkan jumlah keseluruhan sekitar RM19 juta.
Katanya, MUIS turut menyasarkan peningkatan jumlah kutipan zakat pada tahun ini susulan peningkatan kesedaran dan pembayaran zakat oleh syarikat-syarikat selepas tempoh pandemik COVID-19.
Mengulas mengenai kutipan zakat fitrah tahun ini, Malai Ali berkata, proses pengauditan masih berlangsung, namun jumlahnya dijangka tidak jauh berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya.
Dalam masa yang sama, beliau menegaskan keperluan menjaga adab dan sensitiviti dalam membantu golongan asnaf dan fakir miskin.
Katanya, MUIS juga mengambil pendekatan terus menyalurkan bantuan zakat kepada penerima yang sah, termasuk melalui transaksi bank bagi memastikan kecekapan dan ketelusan dalam agihan bantuan. – SABAH MEDIA