Beluran: Pendekatan pelbagai disiplin yang dilaksanakan menerusi Program Bantuan IUI Advokasi Infertaliti (BuAI) memberi manfaat berguna kepada masyarakat khususnya golongan wanita.
Isteri Ketua Menteri merangkap Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS), Datin Seri Juliah Salag, berkata program ini amat baik kerana ia menekankan aspek menyeluruh termasuk berkaitan kesihatan wanita, pengurusan kewangan keluarga, terapi minda dan pengetahuan CPR serta tindakan awal tangani kebakaran.

“Usaha semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini mencerminkan semangat kolaboratif yang harus dicontohi dalam setiap usaha pemerkasaan komuniti. Pendekatan secara menyeluruh ini juga selaras dengan aspirasi Dasar Keluarga Negara yang menekankan kesejahteraan fizikal, mental dan sosial sebagai tonggak pembangunan masyarakat Madani.
“Dengan menggabungkan pelbagai aspek yang amat bermanfaat, peserta dilengkapi banyak pengetahuan antaranya berkaitan kesihatan seperti kanser dan bantuan subsidi yang diberi kerajaan, mendapat pengetahuan asas berkaitan CPR dan cara pengurusan kewangan
“Justeru, saya berharap program ini diperluaskan ke seluruh daerah dan menjadi model intervensi sosial yang berimpak tinggi. Semoga setiap peserta bukan sahaja membawa pulang ilmu, tetapi menyemai semangat untuk menyantuni keluarga dan masyarakat dengan lebih prihatin dan bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Santuni Kasih: Dari Keluarga untuk Komuniti sempena Program BuAI kawasan Dewan Undabngan Negeri (DUN) Labuk, di Dewan Masyarakat Beluran, di sini semalam.
Dalam pada itu Juliah berkata, penglibatan pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang telah memberikan sokongan padu dan kerjasama dalam usaha menjayakan program ini amat dihargai.
“Kerjasama seperti ini turut menyokong inisiatif memperkasa dan mensejahterakan rakyat di negeri ini. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) negeri Sabah dengan jalinan kerjasama melaksanakan pelbagai program bagi tahun keempat ini.
“Sesungguhnya saya bagi pihak MUTIARA GRS sangat menghargai usaha kolaboratif ini sebagai wadah bagi kita bersama-sama menyantuni rakyat di negeri ini,” katanya. – SABAH MEDIA