HomeUtamaUKM sasar lebih ramai pelajar cemerlang Sabah sertai Fakulti Undang-Undang

UKM sasar lebih ramai pelajar cemerlang Sabah sertai Fakulti Undang-Undang

Read Time:1 Minute, 49 Second

Oleh YUSOF MOHAMAD

BANGI: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyeru pelajar cemerlang dari Sabah untuk mempertimbangkan melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di institusi itu, khususnya di Fakulti Undang-Undang (FUU) yang kini tersenarai dalam kelompok 125 hingga 150 terbaik dunia menurut Times Higher Education (THE) Ranking.

Prof. Dr. Rasyikah Md. Khalid

Dekan FUU UKM, Prof. Dr. Rasyikah Md. Khalid berkata, pencapaian itu menjadikan UKM satu-satunya universiti Malaysia yang berada dalam senarai berprestij tersebut bagi bidang undang-undang.

“Kami amat mengalu-alukan kehadiran pelajar-pelajar cemerlang, khususnya dari Sabah, untuk menyertai Fakulti Undang-Undang UKM. Kami menyediakan ruang pembelajaran yang kondusif serta diajar oleh pensyarah berkelayakan tinggi, kebanyakannya memiliki PhD dan kepakaran tersendiri,” katanya kepada Sabah Media.

Menurut beliau, bidang undang-undang menawarkan pelbagai laluan kerjaya dan bukan terhad kepada profesion peguam semata-mata.

“Kami bangga kerana ramai alumni kami kini memegang jawatan penting seperti menteri, duta dan ketua setiausaha kementerian,” katanya.

Ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1984, fakulti itu telah meraikan sambutan Jubli Ruby sempena ulang tahun ke-40 pada tahun lalu. Pengambilan pelajar pertama bermula sejak 1975, manakala pada 1979, programnya diiktiraf oleh Lembaga Kelayakan Profesyen Undang-Undang Malaysia.

UKM juga dilihat terus mengukuhkan hubungan antarabangsa, terutamanya selepas menerima pengiktirafan THE, dengan memulakan perbincangan kolaborasi bersama universiti-universiti dari Eropah dan Amerika Syarikat.

Dr. Rasyikah turut menekankan keunikan UKM sebagai universiti pendidikan, di mana 35 peratus pensyarah FUU memiliki ijazah kedoktoran dan turut terlibat dalam penggubalan serta pindaan undang-undang negara.

“Pelajar akan belajar terus daripada pakar yang aktif menyumbang dalam pembangunan dasar dan undang-undang. Ia satu kelebihan besar,” ujarnya.

Pelajar FUU UKM juga diwajibkan menjalani latihan industri pada tahun ketiga di pelbagai firma guaman, mahkamah serta agensi korporat seperti Petronas. Malah, fakulti kini membuka peluang latihan industri ke peringkat antarabangsa termasuk di badan-badan seperti UNICEF dan UNDP.

Selain itu, pelajar turut menghasilkan kertas projek yang diterbitkan dalam jurnal dan buku sebagai sebahagian daripada komitmen fakulti terhadap pembangunan ilmu.

Mengulas penggunaan teknologi, Dr. Rasyikah berkata FUU menyambut baik kemunculan Kecerdasan Buatan (AI) dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

“Kita telah melaksanakan bengkel AI untuk pelajar dan pensyarah, dan sedang melihat peluang untuk memasukkan AI secara rasmi dalam kursus kami,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Suami didakwa bunuh isteri mengaku tidak bersalah, perbicaraan Julai ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular