Oleh FLORIETA DIET
TAWAU: Seorang lelaki warga asing berusia 40-an ditahan dalam satu operasi di kawasan perumahan pekerja ladang di Jalan Luasong, Kalabakan, pada petang Rabu selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu seberat 6.77 gram.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Superintendan Jasmin Hussin, berkata tangkapan dilakukan sekitar jam 3.15 petang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau hasil maklumat risikan.
“Pemeriksaan mendapati suspek menyerahkan satu paket plastik berisi hablur jernih disyaki syabu yang disembunyikan dalam seluar. Nilai pasaran dadah itu dianggarkan RM600,” katanya.
Suspek yang bekerja sebagai buruh dan tiada rekod jenayah lampau, kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. Ujian air kencing suspek pula menunjukkan keputusan negatif dadah.
Tambah beliau, pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti rangkaian pengedaran dadah serta individu lain yang disyaki terlibat dalam kes berkenaan.