Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan merogol anak kandungnya yang berusia 13 tahun, menyatakan hasrat untuk bertemu mangsa bagi memohon maaf.
Tertuduh, seorang pemotong rumput berusia 49 tahun, mengaku bersalah merogol anak perempuannya pada 28 Mac lalu, waktu malam di sebuah kampung di daerah Papar.
Dia membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan.
Dalam rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dan menyatakan penyesalan atas perbuatannya.
“Saya harap diberi peluang untuk bertemu dengan anak saya. Saya mahu minta maaf,” katanya.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun, serta tidak kurang daripada 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, kejadian itu terbongkar apabila mangsa memaklumkan kepada ibu saudaranya bahawa dia telah dirogol oleh bapanya. Wanita itu kemudian membawa mangsa ke balai polis untuk membuat laporan.
Siasatan mendapati pada malam kejadian, tertuduh telah memasuki bilik mangsa dan merogolnya. Mangsa tidak melawan kerana ketakutan.
Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis memohon agar hukuman berat dikenakan, memandangkan tertuduh adalah bapa kandung kepada mangsa, dan menekankan bahawa insiden itu memberi kesan trauma yang mendalam terhadap remaja berkenaan.
“Sebagai bapa kandung, tertuduh sepatutnya melindungi anaknya, bukan menghancurkan masa depannya. Kini, mangsa bukan sahaja mengalami trauma, malah perlu menanggung stigma sebagai mangsa rogol oleh ayah sendiri,” katanya.
Bryan turut menegaskan bahawa kes seumpama ini adalah jenayah serius yang semakin meningkat dengan kadar membimbangkan di Sabah.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan selama dua tahun dalam tahanan, serta dikenakan pengawasan polis selama tiga tahun selepas tamat hukuman penjara.