HomeUtamaSAREC 2025, platform kerjasama pacu peralihan Sabah ke arah masa depan tenaga...

SAREC 2025, platform kerjasama pacu peralihan Sabah ke arah masa depan tenaga mampan

Read Time:2 Minute, 26 Second

Kota Kinabalu: Persidangan Tenaga Boleh Diperbaharui Sabah (SAREC) 2025 menjadi platform ke arah kerjasama, inovasi dan dasar berpandangan jauh bagi memacu peralihan negeri ini ke arah masa depan tenaga mampan.

Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad (QSB), Datuk Dr. Yusof Yacob berkata,  persidangan ini menekankan betapa pentingnya tenaga bersih, mampan dan mampu milik. 

Katanya, Sabah, yang kaya dengan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar, angin dan hidro, mempunyai kedudukan unik untuk menjadi peneraju pembangunan tenaga boleh diperbaharui.

Menurutnya, sumber tenaga ini berpotensi memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan keselamatan tenaga, dan mengurangkan jejak karbon secara ketara.

“Namun begitu, peralihan ini turut disertai dengan cabaran. Pembangunan infrastruktur bagi menyokong tenaga boleh diperbaharui memerlukan pelaburan besar, dasar inovatif dan kerjasama merentas sektor. Di sinilah kepimpinan kerajaan amat penting,” katanya pada Majlis Makan Malam Sambutan SAREC 2025, semalam.

Beliau menegaskan bahawa tenaga boleh diperbaharui bukan sahaja isu alam sekitar, tetapi juga satu keperluan ekonomi.

“Ini adalah antara sektor yang paling pesat berkembang di dunia. Dengan melabur dalam tenaga boleh diperbaharui, kita boleh mewujudkan industri baharu, menggalakkan inovasi dan mencipta peluang pekerjaan yang akan memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan keselamatan tenaga, sambil menyatakan bahawa kebergantungan kepada bahan api fosil boleh menyebabkan negara terdedah kepada gangguan bekalan, turun naik harga dan ketidakstabilan geopolitik.

“Pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui akan memperkukuh kebergantungan tenaga kita serta meningkatkan daya tahan negara,” katanya.

Dr. Yusof turut menyatakan bahawa sepanjang berlangsungnya SAREC 2025, persidangan ini dijangka akan terus merangsang dialog yang lebih mendalam dan menjalin kerjasama strategik untuk menyokong aspirasi Sabah ke arah masa depan yang lebih bersih, selamat dan berdaya saing dari segi ekonomi.

Beliau merakamkan penghargaan yang tinggi kepada para penceramah, moderator, dan ahli panel yang komited memimpin perbincangan penting di teras SAREC 2025.

“Kami mengucapkan terima kasih atas kehadiran dan visi bersama anda. Pandangan dan perspektif anda adalah kunci kepada pertumbuhan dan pembelajaran yang ingin kita capai bersama,” katanya.

Dr. Yusof berkata, acara ini turut menekankan peranan penting QSB, yang dahulunya dikenali sebagai Warisan Harta Sabah Sdn Bhd.

Beliau menambah bahawa QSB yang ditubuhkan pada April 1995 berfungsi sebagai cabang pelaburan Kerajaan Negeri Sabah. 

Katanya, di bawah bimbingan Kementerian Kewangan Sabah, syarikat ini bertindak sebagai rakan strategik ekonomi merentasi sektor-sektor utama demi melindungi kepentingan jangka panjang.

“Kerjasama antara syarikat milik kerajaan amat penting dalam membina ekosistem ekonomi yang berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan.

“Kami yakin bahawa sinergi melalui perkongsian ini akan membolehkan Sabah menyesuaikan diri dengan pantas terhadap perubahan global dan serantau,” katanya lagi.

Menteri Kewangan Negeri Datuk Seri Panglima Masidi Manjun akan merasmikan SAREC 2025 hari ini bagi mewakili Ketua Menteri.

SAREC bertujuan menyokong pelan jangka panjang kerajaan negeri melalui Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040 (SE-RAMP 2040) yang digerakkan oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).

SAREC 2025 bakal menjadi platform penting dalam memperkukuh kolaborasi antara pembuat dasar, pelabur, pemain industri dan institusi kewangan ke arah mempercepatkan peralihan tenaga di Sabah.

RELATED ARTICLES
Jabatan Meteorologi Malaysia Hujan cuaca
Utama

MetMalaysia beri amaran risiko garis badai Monsun Barat Daya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular