Kota Kinabalu : Pasukan mewakili Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Kencana (A) berjaya dinobatkan sebagai johan Pertandingan Debat Piala Orator 2025 (DEBORA’25) anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi peringkat sekolah menengah baru-baru ini menewaskan SMK Tansau.
Dengan usul pusingan akhir, ‘Dewan Ini Percaya Pendidikan Integriti Harus Bermula di Institusi Kekeluarga Bukan di Institusi Pendidikan’ pasukan SMK Desa Kencana (A) mencatat kemenangan juri 4-1 dan margin kemenangan 2.25.
SMK Desa Kencana berjaya merangkul hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 bersama piala pusingan, manakala SMK Tansau menerima wang tunai sebanyak RM700.
Sementara itu, salah seorang pendebat SMK Tansau, Adi Sarhan Ramlee telah dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik pada DEBORA ’25.
Pada perasmian penutupan DEBORA’25, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata slogan penganjuran tahun ini iaitu ‘DEBORA: Medan Intelektual, Legasi Inspirasi’ membuktikan bahawa program tersebut merupakan satu medan untuk melahirkan generasi yang celik berilmu tinggi dan kritis pemikiran.
“Saya dimaklumkan edisi tahun ini mempunyai sedikit kelainan iaitu hanya dipertandingkan kepada kategori Sekolah Menengah sahaja dan setinggi tahniah kerana ia telah berjaya mendapat penyertaan dari seluruh negeri Sabah.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk turut mengucapkan selamat datang kepada para peserta serta guru-guru pengiring setiap Sekolah Menengah yang sanggup hadir ke Universiti Malaysia Sabah demi mengikuti Debat Piala Orator 2025,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Pusat Komunikasi Korporat (PKK) UMS, Dr. Rizal Zamani Idris.
Tambah beliau, program tersebut diharapkan agar dapat mengekalkan momentum dalam melahirkan bakat seni orator generasi muda serta diteruskan pada masa akan datang.
“Kepada semua peserta, jadikanlah pengalaman ini sebagai batu loncatan untuk terus maju dalam seni orator serta menjadi inspirasi untuk terus berusaha mencapai kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan,” katanya.
Lima lagi buah sekolah yang turut menyertai DEBORA ’25 ialah SMK Putatan, SMK Pitas, SMK Tun Ahmadshah Kota Kinabalu, SMK Kota Marudu dan SMK Mat Salleh Ranau. – SABAH MEDIA / FOTO UMS