HomeUtama623 PATI warganegara Filipina dihantar pulang melalui Pelabuhan Sandakan

623 PATI warganegara Filipina dihantar pulang melalui Pelabuhan Sandakan

Read Time:1 Minute, 34 Second

SANDAKAN: Seramai 623 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Filipina telah berjaya dipindahkan ke negara asal melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina dalam satu operasi bersepadu yang dikendalikan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah, semalam (24 April).

Pemindahan ini melibatkan tahanan daripada Depot Imigresen Papar dan Depot Imigresen Sandakan, merangkumi golongan dewasa serta kanak-kanak berusia antara 11 bulan hingga 79 tahun.

Menurut Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof, operasi pemindahan tersebut mendapat kerjasama penuh daripada Kedutaan Republik Filipina yang membantu dalam pengeluaran dokumen perjalanan kepada semua PATI terbabit.

“Daripada jumlah keseluruhan yang dipindahkan, seramai 483 merupakan lelaki dewasa, 80 perempuan dewasa, 35 kanak-kanak lelaki dan 25 kanak-kanak perempuan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Setakat ini, sebanyak 3,993 orang warganegara Filipina telah dipulangkan ke negara asal melalui pintu masuk di Sabah, menjadikan keseluruhan 4,834 orang warga asing yang terlibat dalam program pemindahan tahanan setakat tahun ini.

Kesemua PATI terbabit dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, termasuk masuk tanpa dokumen yang sah dan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan. Mereka telah menjalani hukuman penjara sebelum dipindahkan pulang setelah melengkapkan dokumen perjalanan.

Tambah Sitti Saleha, kesemua PATI ini juga akan disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia berdasarkan kesalahan yang dilakukan.

Jabatan Imigresen Negeri Sabah menegaskan bahawa tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana warga asing yang menyalahgunakan pas atau kemudahan imigresen. Tindakan undang-undang turut akan diambil terhadap majikan atau pemilik premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen serta terhadap individu yang melanggar syarat pas atau permit.

“Jabatan juga menasihatkan para majikan dan masyarakat agar hanya mengambil pekerja asing melalui saluran yang sah dan berlandaskan undang-undang,” tegasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI di negeri ini.

RELATED ARTICLES
Utama

Inisiatif GLC laksana CSR contoh terbaik perkasa budaya,adat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular