Sook : Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan tambahan bagi pembinaan Kompleks Sukan Sook yang dijangka memberi impak besar kepada pembangunan sukan tempatan dan kemudahan riadah masyarakat setempat.
Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, kompleks itu akan menyokong penganjuran kejohanan sukan secara lebih sistematik dan menarik lebih banyak penyertaan di masa depan.

“Saya yakin dengan adanya kompleks ini, penganjuran kejohanan seperti ini akan menjadi lebih sistematik dan mampu menarik lebih banyak penyertaan di masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kejohanan Olahraga MSS Zon Trusmadi kali ke-40 di padang SK Tulid.
Hadir sama Guru Besar SK Tulid, Salim Linggi.
Kejohanan itu turut disertai 10 buah sekolah di kawasan Zon Trusmadi.

Dalam ucapannya, Ellron menzahirkan penghargaan kepada penganjur dan menyifatkan kejohanan ini sebagai platform membina sahsiah murid sejak peringkat rendah.
Beliau turut menekankan kepentingan penglibatan awal murid dalam sukan bagi membentuk disiplin, semangat kesukanan dan pembangunan modal insan holistik selaras dengan matlamat Kementerian Pendidikan.
Majlis berakhir dengan semangat kesukanan dan penyampaian trofi kepada johan perbarisan. – SABAH MEDIA