Tongod : Seramai 86 peserta dari kampung-kampung sekitar Kawasan Konservasi Kanyon Imbak (ICCA) telah menyertai Bengkel Tuhau dan Kulat Liar Projek TUB RMK-12 yang berlangsung selama lapan hari, bermula 1 Ogos lalu, sebagai usaha memperkasakan komuniti luar bandar dalam bidang biodiversiti dan pembangunan mampan.
Bengkel anjuran Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) itu menjadi platform pemindahan ilmu melibatkan penyelidikan dan pembangunan spesies halia liar (Tuhau) dan kulat liar, dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Majlis penutupan bengkel telah disempurnakan oleh Pengurus Kumpulan Bahagian Penyelidikan KYS merangkap Pengurus Projek Bio-Prospek TUB, Dr. Yap Sau Wai yang mewakili Pengarah Yayasan Sabah.

Menurut Dr. Yap, projek Tumbuhan dan Kulat Boleh Dimakan (TUB) yang dibiayai sebanyak RM5 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021–2025) merupakan pendekatan strategik bagi mengenal pasti, melindungi dan memanfaatkan khazanah biodiversiti hutan Sabah secara lestari.
“Projek ini bukan sahaja menyokong usaha konservasi biodiversiti, malah memberi impak ekonomi kepada komuniti tempatan, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya Matlamat 2 (Kelaparan Sifar), Matlamat 8 (Pekerjaan Berkualiti & Pertumbuhan Ekonomi) dan Matlamat 15 (Kehidupan di Daratan),” katanya.
Bengkel ini turut mengetengahkan sesi pembentangan, demonstrasi dan pameran spesimen, yang dikendalikan oleh dua pakar terkemuka dari UMS iaitu TS. Dr. Elia Godoong, pakar kajian Tuhau, dan Prof. Madya Dr. Jaya Seelan A/L Sathiya Seelan, pakar kajian kulat liar.

Dalam ucapannya, Dr. Yap turut merakamkan penghargaan terhadap komitmen dan kerjasama erat antara Kumpulan Yayasan Sabah, JPS dan UMS yang telah berlangsung kukuh sepanjang lima tahun pelaksanaan projek tersebut.
“Komitmen dan kerjasama semua pihak menjadi bukti kesungguhan untuk memastikan hasil penyelidikan ini membawa manfaat jangka panjang kepada biodiversiti dan komuniti setempat,” katanya.
Sebagai simbol penghargaan terhadap penglibatan aktif masyarakat, seramai 13 pemimpin komuniti turut menerima sijil penyertaan semasa majlis penutupan bengkel tersebut.



