Oleh Florieta Diet
TIDAK kenal putus asa, Nyssa Kahar, 43, dari Membakut, Sabah menetapkan satu misi yang tidak pernah berubah selama dua tahun hampir setiap hari, beliau memperkenalkan B’sai, jenama produk herba tempatan ciptaannya, kepada sekurang-kurangnya seratus orang.


Bukan sekadar menjual, tetapi meyakinkan dan memperkenalkan kelebihan herba tradisional kepada masyarakat moden. Suaranya kadangkala serak, tenaganya sering diuji, namun bagi Nyssa, diam bukan pilihan.
“Kalau saya tidak bercakap, siapa lagi akan tahu produk ini wujud? Saya penat, tetapi saya percaya,” katanya penuh azam.
Bagi beliau, setiap cabaran bukanlah alasan untuk berhenti, sebaliknya satu peluang untuk belajar, berubah, dan bangkit dengan lebih kuat.
Dalam membangunkan jenama B’sai daripada satu pelanggan kepada ratusan, Nyssa melangkah dengan keyakinan yang tidak pernah padam, walaupun berdepan pelbagai kekangan seperti modal, teknologi, dan pasaran.
Dua Produk Utama: Losyen Urut Halia dan Minyak Kayu Kapur
B’sai, yang bermaksud “bagus” dalam bahasa etnik Melayu Brunei, kini menampilkan dua produk utama: Losyen Urut Halia dan Minyak Kayu Kapur.
Kedua-duanya diinspirasikan daripada pengalaman merawat anak-anak ahli keluarga menggunakan ramuan tradisional warisan keluarga.
Losyen Urut Halia B’sai dirumus untuk membantu mengatasi masalah angin dalam badan dengan menggunakan halia tua gred A yang dibekalkan oleh pengusaha tempatan. Manakala Minyak Kayu Kapur pula mampu merawat masalah kulit seperti eczema dan luka.
Pada peringkat awal, Nyssa menghasilkan produk ini di rumah dalam jumlah terhad, dengan pembungkusan yang masih sederhana.
Melihat potensi yang ada dan permintaan yang semakin meningkat, beliau mengambil keputusan untuk menggunakan khidmat kilang Original Equipment Manufacturer (OEM).
Produk B’sai kini diformulasikan melalui kilang OEM yang mempunyai pasukan penyelidik khas.
Kilang ini menghasilkan produk berdasarkan formula dan spesifikasi yang ditetapkan sendiri oleh Nyssa sebagai pengasas jenama.
Walaupun pengeluaran dan aspek pembungkusan diuruskan oleh kilang, reka bentuk dan pemasaran tetap dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan Nyssa.
Kedua-dua produk ini hadir dalam botol bersaiz 50ml yang direka khas agar mudah dibawa ke mana-mana, termasuk oleh jemaah umrah dan individu yang sering bergerak.
Saiz sederhana ini bukan sahaja praktikal, malah memudahkan produk ini dipasarkan.
Pengeluaran Losyen Urut Halia kini telah mencecah sehingga 500 unit sebulan, bergantung kepada permintaan dan kapasiti.
Harga pasaran ditetapkan pada RM35 seunit, dengan margin yang memberi pulangan munasabah kepada ejen.
Strategi Pemasaran dan Sistem Ejen
Pasukan B’sai terdiri daripada ahli keluarga dan rakan-rakan yang turut membantu dalam pelbagai aspek, termasuk mencari herba di hutan, menyediakan bahan mentah serta menguruskan operasi harian.
Pendekatan kolektif inilah yang menjadi kekuatan utama di sebalik kejayaan jenama ini.
Perniagaan ini juga dibangunkan dengan niat yang lebih besar iaitu untuk membuka peluang kepada lebih ramai wanita luar bandar agar dapat menjana pendapatan dan berdikari.
Kini, B’sai mempunyai seramai 15 ejen berdaftar, dengan lima hingga enam daripadanya aktif secara konsisten.
Sistem pembayaran penuh sebelum pengambilan produk diamalkan bagi melatih tanggungjawab kewangan dalam kalangan ejen dan membentuk sikap usahawan yang sebenar.
Nyssa sentiasa menekankan bahawa produk yang baik tidak akan terjual jika seseorang itu tidak tahu cara menjual.
“Produk boleh jadi hebat, tapi kalau tidak pandai menjual, ia akan duduk bawah meja. Itu yang saya selalu tekankan. Komunikasi itu senjata utama,” tegasnya.
Warisan dan Harapan
B’sai bukan sekadar produk ia adalah simbol ketabahan dan keberanian seorang wanita Sabah yang berani melawan arus.
Dahulunya seorang yang introvert, Nyssa kini mampu menyapa ratusan individu demi memperkenalkan produknya.
Beliau juga dalam perancangan untuk mengeluarkan beberapa produk baharu seperti sabun herba buang angin, minyak halia, serta ramuan berasaskan kunyit hitam, kunyit kuning dan serai wangi. Setiap bahan dipilih berdasarkan fungsi kesihatan dan kualiti yang terbaik.
Dengan visi untuk memperkasakan lebih ramai wanita luar bandar, B’sai terus berkembang sebagai satu legasi herba tempatan yang menggabungkan ilmu lama dan teknologi moden.
Jenama ini bukan hanya tentang produk, tetapi tentang sebuah perjalanan, perjuangan dan harapan.
Kini, B’sai bersedia untuk menembusi pasaran yang lebih luas.
Nyssa sedang memperkemas strategi digital, memperkukuh promosi dan menambah baik sistem sokongan ejen agar jenama ini terus berdiri kukuh.



