Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun ketika mabuk.
Wong Chee Shin, 44, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain.
Kesalahan dilakukan pada 13 Julai lalu, kira-kira jam 7.35 malam, di sebuah kedai di Penampang apabila tertuduh meraba bahagian paha mangsa.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan – Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun dan boleh juga dihukum dengan sebat, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, rakaman CCTV menunjukkan tertuduh yang berada di bawah pengaruh alkohol menghampiri mangsa yang sedang duduk di kerusi sambil bertanya apa yang sedang dilihatnya di telefon bimbit.
Tertuduh kemudian meraba paha mangsa, menyebabkan mangsa bangun dan berjalan ke kaunter pembayaran untuk memaklumkan kejadian itu kepada bapa saudaranya.
Tertuduh ditahan susulan laporan polis yang dibuat terhadapnya.
Semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam meminta hukuman ringan memandangkan dia mempunyai tanggungan.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir memohon hukuman berat, menegaskan kesalahan itu serius dan mangsa yang masih kecil mengalami trauma akibat kejadian.



