Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Dua lelaki masing-masing dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah melakukan rompak berkumpulan menggunakan senjata.
Asreen Arskan, 24, dan Mohd Hiesyamuddin Baharudding, 26, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Amir Shah Amir Hassan.
Mereka merompak seorang pekerja wanita di sebuah kedai 24 jam di Telipok Ria, Tuaran pada 17 Julai lalu kira-kira jam 3.13 pagi, membabitkan wang tunai RM67 milik premis berkenaan dengan bersenjatakan sebilah sabit.
Asreen turut dijatuhi hukuman penjara lima tahun lagi dan tiga sebatan bagi kesalahan kedua kerana merompak seorang pekerja lelaki di sebuah lagi kedai 24 jam di Tuaran pada keesokan harinya, kira-kira jam 1.23 pagi. Dalam kejadian itu, dia melarikan wang tunai RM154.95 milik premis dengan bersenjatakan sebilah parang.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan berasingan menjadikan jumlah hukuman keseluruhan terhadap Asreen ialah 15 tahun penjara dan enam sebatan.
Semasa rayuan kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam meminta hukuman ringan kerana mereka telah menyesal.
Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis meminta hukuman berat memandangkan tertuduh menggunakan senjata.
Beliau berkata penggunaan senjata berbahaya meningkatkan tahap keseriusan kesalahan dan menimbulkan ancaman besar terhadap keselamatan awam.
Walaupun tiada kecederaan fizikal berlaku, namun mangsa mengalami trauma akibat kejadian tersebut, katanya.
Kes rompakan berkumpulan menggunakan senjata adalah di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi kes rompakan bersenjata di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan pula, ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.



