HomeUtamaSabah sambut Hari Malaysia Ke-62 di Padang Merdeka 16 September depan

Sabah sambut Hari Malaysia Ke-62 di Padang Merdeka 16 September depan

Read Time:1 Minute, 36 Second

Kota Kinabalu: Sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Sabah kali ke-62 akan berlangsung di Padang Merdeka pada 16 September depan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Christina Liew berkata, Hari Malaysia mempunyai makna yang sangat istimewa buat semua rakyat Malaysia.

Katanya, Sabah merupakan sebuah negeri yang mempunyai kepentingan sejarah yang besar dalam pembentukan Malaysia.

“Penganjuran acara ini merupakan satu penghormatan bermakna terhadap sejarah dan aspirasi bersama semua rakyat Malaysia.

“Ia bukan sekadar hari untuk memperingati penubuhan negara tercinta kita, tetapi juga satu detik untuk kita merenung semula nilai perpaduan, kepelbagaian, dan keharmonian yang menjadi teras kepada Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa tersebut di sini pada Khamis.

Christina yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2025 berkata, menerusi tema ‘Malaysia Madani, Rakyat Disantuni’, pihaknya berhasrat untuk terus memperkukuh nilai-nilai ini dan memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk menghayati semangat kebersamaan.

Katanya, meskipun persiapan berjalan dengan baik namun beliau menegaskan bahawa masih terdapat beberapa aspek penting yang memerlukan perhatian segera daripada Jawatankuasa Penganjur, khususnya berkaitan logistik, keselamatan, protokol, dan promosi.

“Saya menggesa semua agensi dan pihak berkepentingan untuk bekerjasama rapat dan mempercepatkan penyelesaian segala perkara yang masih tertangguh agar pelaksanaan sambutan ini berjalan lancar.

“Kejayaan sambutan ini sangat bergantung kepada sokongan dan kerjasama semua pihak termasuk daripada kementerian dan agensi kerajaan, sektor swasta, pihak berkuasa tempatan hinggalah kepada pemimpin komuniti.

“Saya menyeru agar setiap daripada anda terus memainkan peranan masing-masing dengan aktif dan penuh dedikasi,” katanya.

Sementara itu, Christina berharap agar sambutan Hari Malaysia tahun ini akan menjadi penanda aras baharu, bukan sahaja dari segi pengurusan dan penyelarasan, tetapi juga dalam menggalakkan penyertaan rakyat yang lebih meluas serta liputan media yang lebih berimpak.

“Saya yakin dengan kekuatan gabungan kita, kita mampu menganjurkan sambutan yang bermakna dan akan dikenang oleh seluruh rakyat Malaysia di Sabah,” katanya.

Tambahnya, pihaknya menyasarkan kehadiran seramai 30,000 orang hadir memeriahkan Padang Merdeka pada 16 September nanti.

RELATED ARTICLES
Utama

SSA raih tempat ketiga dalam kejohanan menembak antarabangsa

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular